Markah penanda aras cip Tensor G3 yang digunakan pada Google Pixel 8 dan Pixel 8 Pro telah muncul di laman Geekbench 6 hari ini. Seperti yang telah dijangka ia adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 2 dan Apple A17 Pro.
Dalam ujian satu teras Tensor G3 mencatatkan 1760 markah sementara dalam ujian multi teras pula ia mencatatkan 4442 markah. Sebagai perbandingan Snapdragon 8 Gen 2 mencatatkan 1922/5017 markah dan Apple A17 Pro pula mencatatkan 2863/7128 markah. Google sejak dari awal mengatakan cip Tensor tidak direka untuk prestasi tinggi tetapi lebih mementingkan kemampuan kecerdasan buatan yang diperlukan pada peranti Pixel.
Yang dapat kami lihat sejak dua tahun kebelakangan ini, perbezaan skor Geekbench tidak begitu mendatangkan impak yang besar ke atas prestasi dunia sebenar. Ia hanya dapat dilihat sekiranya melakukan suntingan video. Di kalangan peminat Pixel ciri unik kamera peranti yang menjadi sebab utama ia menjadi pilihan berbanding peranti lain di pasaran.