Pada hari ini, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan sedia menawarkan aplikasi JPJeQ yang memudahkan pengguna dalam mendapatkan nombor giliran sebelum berurusan di kaunter pejabat JPJ. Aplikasi berkenaan ditawarkan berasingan dengan aplikasi MyJPJ, sekaligus membuatkan pengguna perlu mempunyai beberapa aplikasi berbeza untuk berurusan dengan jabatan berkenaan.
Namun, perkara berkenaan dijangka berubah tidak lama lagi.
Berkongsi pada acara JomLaunch 2023 yang berlangsung hari ini, pasukan pembangunan di JPJ menyatakan kelak aplikasi JPJeQ akan diintegrasikan ke dalam aplikasi MyJPJ. Ini sekaligus akan memudahkan pengguna untuk hanya mempunyai satu aplikasi bagi pelbagai urusan melibatkan JPJ.
Pembangunannya sedang dilaksanakan, dan integrasi dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Perkara ini selari dengan perkongsian pihak JPJ sebelum ini menyatakan kelak menjelang 2025, semua perkhidmatan berkaitan JPJ boleh diakses terus melalui aplikasi MyJPJ.