Carian
Apple Sedang Membangunkan Vision Pro Yang Lebih Selesa Dipakai
October 9, 2023 Effi Saharudin

Apple Vision Pro akan mula dijual tahun hadapan hanya di Amerika Syarikat terlebih dahulu. Antara isu awal yang dilaporkan pengguna awal ialah ia masih berat dan justeru tidak selesa dipakai untuk tempoh masa yang lama. Menurut laporan Bloomberg, Apple kini sedang membangunkan Vision Pro baharu yang lebih selesa dipakai.

Ini akan dilakukan dengan menghasilkan set kepala yang lebih ringan dan kecil. Tekanan pada leher yang dialami oleh pengguna Vision Pro diharap akan dapat diselesaikan dengan set kepala Vision Pro generasi kedua. Setakat ini kesemua set kepala VR/AR mempunyai isu yang sama iaitu ia tidak begitu selesa dipakai untuk tempoh masa yang lama.

Di negara tropika seperti di Malaysia misalnya, bahagian dahi, mata, hidung dan pipi akan mula berpeluh selepas set kepala dipakai selama 15 minit. Meta lebih ke hadapan dalam menyelesaikan isu ini kerana set kepada Quest 3 mereka 30% lebih nipis dan lebih ringan. Dengan pembangunan teknologi skrin serta lensa, mungkin set kepala yang selesa akan dapat dibangunkan dalam masa terdekat.

Apple dan Meta kedua-duanya mempunyai sasaran yang sama iaitu mendominasi pasaran set kepala. Tetapi dengan harga peranti masih lagi agak mahal, mungkin ini hanya akan dicapai selepas beberapa iterasi set kepala dilancarkan.

Komen