Amazon memulakan era perkhidmatan internet berasas satelit mereka hujung minggu lalu dengan kejayaan melancarkan Kuipersat-1 dan Kuipersat-2. Dua satelit ujian untuk Project Kuiper ini dilancarkan dari Cape Canaveral hujung minggu lalu menggunakan roket Atlas V milik United Launch Alliance (ULA).
Project Kuiper akan memberikan persaingan kepada Starlink apabila ia memulakan operasi seawal 2026. Amazon kini dalam perancangan untuk melancarkan separuh daripada 3200 satelit Project Kuiper menjelang Julai 2026 dan kesemuanya menjelang Julai 2029.
Kesemua satelit akan beroperasi pada kedudukan orbit bumi rendah (LEO) dengan ia menawarkan perkhidmatan internet satelit ke kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur Internet konvensional. Untuk melancarkan satelit mereka, Project Kuiper akan menggunakan roket bukan sahaja milik ULA tetapi juga daripada Arianespace dan Blue Origin sendiri.
Jeff Bezon dan Elon Musk adalah dua bilionwan yang bukan sahaja ingin menguasai perniagaan di bumi tetapi kini ingin mengusai perniagaan di angkasa lepas pula. Kedua-duanya menawarkan pakej pelancongan ke angkasa lepas menerusi Blue Origin dan SpaceX.
Persaingan cukup kuat antara dua manusia terkaya dunia ini dengan Blue Origin menyaman NASA kerana memilih Starship sebagai sistem pendaratan Misi Artemis tahun lalu.