Cari @ Amanz

Walaupun Samsung telah memperkenalkan siri Galaxy Tab FE, siri Galaxy Tab A mereka masih ditawarkan sebagai tablet Android paling mampu milik mereka. Terbaru, tablet yang dikatakan adalah Galaxy Tab A9 telah disenaraikan di laman web Samsung Guatemala.

Galaxy Tab A9 dilihat hadir dengan skrin 8.7-inci iaitu lebih kecil berbanding Tab A8 dengan skrin 10.5-inci tahun lepas. Untuk cip Samsung memilih MediaTek Helio G99 yang dipadankan dengan memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB.

Tablet ini menyokong Bluetooth 5.3, bateri 5000mAh dan pengecasan 15W. Terdapat satu kamera di belakang dan satu kamera hadapan. Rekaan tablet ini dilihat masih lebih kurang sama dengan Galaxy Tab A8 sebelum ini. Samsung dikatakan turut akan menawarkan Galaxy Tab A9 Plus.

Tab A9 Plus mungkin hadir dengan skrin 11-inci, Bluetooth 5.1 serta bateri lebih besar iaitu 7040mAh. Kedua-dua tablet ini dijangka menggunakan skrin LCD dan dijual pada harga mampu milik. Tab A9 ini dilihat dijual pada harga GTQ 1499 (~RM906). Jika memasuki pasaran Malaysia kita mungkin akan melihat harga lebih kurang sama Tab A8 iaitu bermula RM999, sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd