Samsung Galaxy S24 masih belum dilancarkan tetapi kini muncul laporan tidak semua model yang ditawarkan kelak akan menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3. Menurut laporan The Elec, hanya siri Galaxy S24 Ultra akan dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy. Pada Galaxy S24 dan Galaxy S24+, cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy dan Exynos 2400 akan digunakan mengikut pasaran.
Kedua-dua cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy dan Exynos 2400 akan dikilangkan oleh faundri milik Samsung dengan teknologi 3nm. Malaysia secara lazimnya akan menerima peranti Galaxy dengan cip Exynos. Taktik menawarkan peranti dengan cip berbeza ini telah dilakukan oleh Samsung sejak beberapa tahun lalu sebelum pada siri S23 tiada cip Exynos digunakan selepas kekecewaan dengan cip Exynos 2200.
Pihak Samsung tidak mengesakan laporan ini kerana peranti belum dilancarkan lagi. Tetapi ia mungkin langkah yang sudah dijangka kerana Samsung memang merancang menawarkan siri Galaxy S dengan cip Exynos yang dibangunkan khusus untuk siri Galaxy. Sambutan kepada berita ini amat bergantung kepada kemampuan Exynos untuk bersaing dengan cip Snapdragon.
Di Malaysia rata-rata lebih menggemari cip Snapdragon kerana ia secara konsisten lebih berkuasa serta tidak mempunyai isu yang besar. Jika anda bercadang membeli siri Galaxy S24 kelak, adakah penggunaan cip Exynos akan mengubah pilihan anda?