Bulan lepas, peranti yang didakwa Google Pixel 8a telah tertiris. Ia adalah antara peranti Pixel terawal yang tertiris kerana peranti ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Mei 2024 nanti. Baru-baru ini, imej pengolokan beresolusi tinggi pula tertiris dan memperlihatakn rekaan yang lebih kurang sama.
Rekaan Pixel 8a mirip dengan Pixel 8 dan 8 Pro iaitu melengkung di sekeliling serta mempunyai skrin yang rata. Skrin peranti dikatakan adalah 6.1-inci dengan bezel yang agak tebal lagi-lagi di bahagian dagu. Penggunaan palang kamera yang besar masih dikekalkan dengan dua kamera di belakang bersama lubang pada skrin untuk kamera swafoto.
Pixel 8a turut akan dijana dengan cip Google Tensor G3 tetapi versi kuasa yang lebih rendah, dipadankan dengan GPU Mali-G715 GPU dan memori 8GB RAM. Keseluruhan peranti ini turut kelihatan lebih nipis berbanding Pixel 7a. Buat masa ini, butiran lain peranti ini masih tidak diketahui. Ciri AI generatif pada Pixel 8 Pro seperti Magic Editor turut mungkin akan disokong pada peranti ini. Sama-sama kita nantikan.