Empat tahun kebelakangan ini Huawei menghadapi pelbagai isu menghasilkan peranti akibat sekatan yang dikenakan oleh Amerika. Tahun ini mereka bangkit semula menerusi siri P60 yang dilengkapi cip Kirin yang membolehkan mereka kembali menawarkan peranti dengan sokongan 5G. Menurut laporan Nikkei Asia, sambutan luar biasa ke atas siri P60 ini membuatkan Huawei kini menyasarkan jualan 70 juta telefon pintar pada tahun 2024.

Ini adalah sasaran yang tinggi kerana adalah lebih besar berbanding jumlah telefon pintar yang dijual pada tahun 2023 dan 2022. Pada tahun ini mereka pada awalnya menyasarkan jualan 30 juta peranti tetapi kini diubah selepas siri P60 mendapat sambutan luar biasa. Sejak dipasarkan peranti kerap kehabisan stok dipacu oleh semangat patriotik pengguna di China.
Bagi memastikan sasaran ini boleh dicapai, Nikkei berkata Huawei sudah mula mengumpul komponen yang diperlukan seperti PCB, lensa kamera, sensor kamera dan banyak lagi. Sebelum sekatan dikenakan, Huawei hampir memintas Samsung sebagai pengeluar peranti kedua terbesar dunia.
Sekatan menyebabkan peranti tidak ditawarkan di pasaran tertentu dan hanya boleh dijual dalam jumlah kecil kerana kurangnya komponen. Huawei mempunyai reputasi yang besar dalam menghasilkan inovasi dalam ruang peranti mudah alih. Ketiadaan mereka menyebabkan pengeluar lain seperti Xiaomi, Honor, Oppo dan Vivo bangkit mengisi kekosongan di pasaran. Adakah Huawei boleh kembali semula menjadi kuasa besar telefon mudah alih? Hanya masa boleh menjawabnya.
- Sumber
- Nikkei Asia