Jun lalu pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan kod etika dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) sedang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak industri. Minggu ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata kod etika serta tadbir urus ini dijangka siap tahun depan.
Pihak Jabatan Standard Malaysia (JSM) telahpun menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Jawatankuasa Cermin Kebangsaan (National Mirror Committee) yang dipengerusikan oleh MIMOS Berhad untuk menghasilkan piawaian kecerdasan buatan (AI) kebangsaan. Ini adalah bagi meneliti keperluan mewujudkan perundangan dan akta berkaitan AI.
Rangka kerja ini diperlukan memandangkan penggunaan AI yang semakin meningkat selari dengan isu penyalahgunaannya. RUU sedia ada tidak mempunyai klausa untuk isu penggunaan AI di Malaysia. Selain menyentuh isu penggunaan data untuk latihan model, privasi dan sekuriti, AI turut mendatangkan impak ke atas kerjaya penduduk Malaysia dalam tempoh terdekat. Malaysia antara negara di dunia yang sedang merangka kod etika dan tadbir urus AI.