Semasa pelancaran Google Pixel 8, Google turut mengumumkan kemas kini kepada Google Assistant yang mana kini diintegrasikan dengan AI generatif mereka iaitu Bard. Ini menjadikan Assistant pembantu maya yang lebih berkuasa berbanding pesaing sehinggakan turut boleh membantu membalas mesej dengan teks yang dijana AI.
Baru-baru ini 9to5Google telah mendapat akses kepada aplikasi Google versi beta 14.41 dan menemui beberapa informasi tambahan yang tidak dikongsi oleh Google. Assistant with Bard dikatakan terhad kepada Pixel 8 terlebih dahulu, kemudian Samsung Galaxy S24.
Hanya selepas Samsung barulah peranti Pixel 6 dan Pixel 7 pula menerima sokongan ini diikuti dengan Samsung Galaxy S23. Selepas ciri ini diedarkan kepada pengguna Pixel dan Samsung barulah Google akan menawarkannya kepada semua pengguna Android dan iOS seperti yang diumumkan ketika hari pelancaran lepas.