Logitech hari ini telah melancarkan produk baharu di bawah siri Ergo mereka iaitu papan kekunci ergonomik Wave Keys. Seperti namanya, papan kekunci ini menggunakan rekaan kekunci yang beralun seakan ombak dengan susun atur yang kompak.

Wave Keys turut menyertakan pad kusyen untuk meletakkan tangan di tempat yang lembut dan secara tidak langsung tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Menurut Logitech, rekaan Wave Keys dengan sokongan pad kusyen ini adalah untuk tangan berada dalam posisi yang natural ketika menaip.

Papan kekunci ergonomik ini turut menyokong sambungan Logi Bolt untuk menjamin keselamatan dan sokongan multi-peranti dengan satu butang sahaja selain turut menyokong sambungan Bluetooth. Kemudian dengan aplikasi Logi Option+, Wave Keys membolehkan pengguna melakukan kustomasi kekunci seperti Smart Actions, Do not Disturb dan akses pantas untuk produktiviti.

Di Malaysia, Logitech Wave Keys dijual pada harga RM299. Terdapat dua warna ditawarkan iaitu Graphite dan Off-White. Logitech turut menyarankan pengguna memadankan Wave Keys dengan tetikus ergonomik Lift yang pernah kami ulas tahun lepas.