Sony pagi ini mengumumkan perkhidmatan penstriman permainan video di awanan terus ke konsol PlayStation 5 untuk pelanggan PlayStatuon Plus Premium. Menerusi perkhidmatan ini, permainan boleh dimainkan terus dari awanan tanpa ia dipasang terlebih dahulu pada konsol PS5. Pada periangkat awal lima permainan yang boleh distrim dari katalog PS5 ialah Marvel’s Spider-Man: Miles Morales, Horizon Forbidden West, Ghost of Tsushima, Mortal Kombat 11, dan Saints Row IV.
Selain itu permainan Resident Evil 4, Dead Island 2, Genshin Impact, Fall Guys, dan Fortnite yang sudah dibeli oleh pelanggan juga boleh distrim. Pelanggan boleh memilih untuk menstrim pada resolusi 4K, 1440p, 1080p, atau 720p dengan pilihan 60 FPS serta sokongan HDR ataupun tidak. Audio juga dipilih antara 5.1 dan 7.1 bersama dengan Tempest 3D Audiotech.
Dengan penawaran ini, PS5 mempunyai kemampuan yang sama seperti Xbox Cloud gaming. Perkhidmatan ini akan ditawarkan kepada pelanggan PS Plus Premium di Jepun bermula 17 Oktober, di Eropah bermula 23 Oktober dan Amerika Utara bermula 30 Oktober. Tiada maklumat mengenai penawarannya di rantau Asia Tenggara ketika ini.