Carian
Google Search Kini Boleh Menjana Imej Menggunakan AI
October 13, 2023 Effi Saharudin

Apakah kegunaan utama Google Search? Mencari maklumat dan melakukan kajian mungkin dua fungsi utama sejak Search dilancarkan 25 tahun yang lalu. Hari ini menerusi ciri Search Generative Experience (SGE), Google Search juga boleh menjana imej menggunakan kecerdasan buatan (AI) seperti pada Bing Chat.

Pengguna yang mengakses SGE boleh menaip prom terus pada kotak carian Search. Empat imej akan dijana berdasarkan prom yang dimasukkan tadi. Jika imej yang dijana tidak cukup memuaskan, terdapat butang “edit” yang membolehkan pengguna memperhalusi prom sehingga imej yang djana memenuhi kehendak. Imej ini kemudiannya boleh dimuat turun untuk digunakan.

Ciri ini juga boleh diakses menerusi carian Google Images. Apabila carian dilakukan, terdapat kotak saranan untuk menjana imej berdasarkan carian yang dilakukan tadi. Sekali lagi empat imej akan dijana untuk pengguna. Dengan ini jika keputusan carian Google Images tidak begitu memuaskan, imej dijana AI mungkin boleh digunakan.

Pada waktu ini ciri janaan imej menerusi SGE hanya ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat dalam bahasa Inggeris dan berumur 18 tahun ke atas sahaja. Tiada lagi tarikh bila ia akan dikembangkan ke pasaran lain.

Komen