Carian
Selepas Hampir 2000 Tahun, Skrol Purba Herculeneum Yang Terbakar Akhirnya Boleh Dibaca
October 13, 2023 Effi Saharudin

Mac lalu Cabaran Vesuvius (Vesuvius Challenge) diumumkan bagi mencari teknik yang membolehkan skrol purba yang ditemukan di kota purba Herculeneum dibaca. Skrol yang ditemukan terbakar disebabkan oleh letupan Gunung Berapi Vesuvius hampir 2000 tahun lalu yang turut memusnahkan Pompeii. Hari ini penganjur Cabaran Vesuvius mengumumkan perkataan pertama berjaya dibaca daripada salah satu skrol yang ditemukan.

Perkataan pertama yang berjaya dibaca ialah “ΠΟΡΦΥΡΑϹ” yang bermaksud ungu dalam bahasa Yunani purba. Kejayaan ini membuka peluang 1800 gulung papirus Herculeneum yang ditemukan pada tahun 1752 dibaca buat pertama kali dalam masa hampir dua ribu tahun.

Tiga oleh pemenang diumumkan untuk kategori First Letters Prize. Luke Farritor, seorang pelajar sains komputer berusia 21 tahun yang sedang menjalani latihan industri di SpaceX memenangi tempat pertama kerana beliau yang terawal dapat membaca ayat pada skrol. Beliau menggunakan pembelajaran mesin untuk mencari kesan dakwat yang terpelihara pada skrol walaupun ia sudah terbakar.

Skrol Purba Herculeneum

Tempat kedua dimenangi pula oleh Youssef Nader seorang pelajar biorobotik di Berlin yang menggunakan teknik yang sama tetapi berjaya menghasilkan imej yang lebih jelas. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Casey Handmer seorang bekas kakitangan JPL NASA yang menyarankan penggunaan teknik menganalisa rekahan pada skrol untuk mengesan kehadiran dakwat.

Farritor dianugerahkan hadiah $40,000 manakala Nader dan Handmer masing-masing memenangi $10,000. Dengan kejayan membaca perkataan pertama, Cabaran Vesuvius percaya pememang hadiah $700,000 bagi mereka yang berjaya menghasilkan teknik untuk membaca kesemua 1800 skrol purba Herculeneum mungkin akan dapat diumumkan kelak

Komen