Selepas menguji Razer Blade 18 2023 beberapa bulan yang lalu, minat saya terhadap permainan PC meningkat mendadak. Kualiti visual dan kadar bingkai yang lebih baik pada PC berbanding konsol membuatkan saya rindu dengan Blade 18 yang telahpun dipulangkan kepada Razer. Untuk mengubati rindu ini saya menjadikan HP Victus 16 pula sebagai laptop gaming harian saya selama dua minggu.
Selama dua minggu penggunaan, saya boleh katakan Victus 16 mungkin adalah laptop gaming pengganti Razer yang cukup mampu milik kerana harga yang lebih tiga kali murah. Sepanjang penggunaan saya, satu masalah pun tidak berlaku dan artikel ini akan saya kongsi kepada anda kenapa inilah laptop gaming untuk semua.
HP Victus 16 | |
---|---|
Skrin | 16.1″ IPS, FHD 1920 x 1080, 144Hz, anti-silau, 250 nits |
CPU | Intel Core i5-13500HX, 4.7 GHz Intel Turbo Boost Technology (14-teras, 20-bebenang) |
GPU | NVIDIA GeForce RTX 4070 Laptop GPU 8GB GDDR6 |
RAM | 16GB RAM DDR5-4800 MHz (2 x 8GB) |
Storan | 512GB PCIe Gen4 NVMe TLC M.2 SSD |
Kamera Utama | HP True Vision 1080p |
I/O | 1x USB-A 5Gbps (HP Sleep dan Charge) 1x USB-C 5Gbps (USB PD, DisplayPort 1.4, HP Sleep dan Charge) 2x USB-A 5Gbps 1x HDMI 2.1 1x RJ-45 1x AC smart pin 1x Port bicu audio 3.5mm |
Bateri | 70Wh Li-ion polymer 230W Smart AC |
SIM/Telefoni | Tiada |
Sambungan | MediaTek Wi-Fi 6 MT7921 (2×2) (IEEE 802.11a/b/d/e/g/h/i/k/n/r/u/v/w/ac/ax/az) 10/100/1000 GbE LAN Bluetooth 5.3 |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Tiada |
Harga Jualan | RM6,299 |
SKRIN
Victus 16 menggunakan panel IPS 16.1-inci yang cukup besar tetapi masih cukup kecil untuk dimasukkan dalam beg galas yang saya gunakan. Sayang sekali resolusi skrin laptop ini terhad kepada FHD 1920×1080 sahaja dan saya boleh nampak perbezaan kualiti berbanding QHD+. Sokongan kadar segar semula 144Hz dengan 240Hz di mata saya seakan tiada beza pada peranti Windows dan amat berbeza dengan 120Hz vs 144Hz pada telefon pintar.
Tiada sokongan kadar segar semula adaptif dan tiada sokongan HDR tetapi warna yang dihasilkan masih baik untuk penggunaan harian. Menonton video di YouTube atau Netflix memberikan pengalaman yang memuaskan. Menyunting gambar turut mudah kerana warna tidak lari jauh berbanding tetapan warna sebenar. Lebih menarik untuk kerja harian saya yang banyak menaip ialah lapisan anti-silau pada skrin laptop ini tidak memenatkan mata saya menggunakannya sepanjang hari.
Skrin 16.1-inci ini turut masih baik bermain permainan video seperti Resident Evil Village yang saya mainkan semula. Nisbah paparan 16:9 adalah sempurna untuk majoriti permainan di dalam Xbox Game Pass. Apa yang saya rindui adalah skrin 18-inci boleh melakukan banyak tugasan serentak dengan banyak tetingkap dibuka berbanding 16.1-inci yang lebih terhad. Menggunakan laptop ini turut memerlukan saya bergantung kepada sebuah monitor untuk produktiviti yang lebih lancar.
REKAAN
Rekaan HP Victus 16 ini ada sedikit persamaan dengan Razer Blade 18 kerana penggunaan warna kelabu serta rekabentuk yang minimalis. Belakang skrin menggunakan panel plastik kelabu dengan kemasan kusam, ada logo Victus tanpa RGB, sisi yang semakin tajam di hujung dan bahagian engsel yang ada kekisi udara panas keluar yang memberikan petanda ia sebuah komputer riba gaming.
Victus 16 adalah laptop gaming lebih mampu milik berbanding Omen. Jadi kualiti binaan laptop ini tidak begitu tahan lasak seperti bahagian skrin yang mudah dilenturkan dan pada bahagian merehatkan pergelangan tangan yang rasa lembut. Ini membuatkan saya risau kerana saya adalah pengguna yang agak ganas dan saya takut jika kalah dalam satu sesi permainan video saya boleh terhentak laptop ini sehingga rosak. Syukur, ia tidak berlaku!
Di bahagian bawah pula terdapat kekisi kipas dengan rekaan yang sangat unik. Saya jarang melihat rekaan seperti ini iaitu satu kekisi yang besar berbanding dua ke empat kekisi di setiap bucu. Seperti kebanyakan laptop gaming moden, HP menggunakan rekaan yang sedikit sukar untuk dibuka tetapi RAM masih boleh dinaiktaraf kerana ada terdapat dua slot 8GB yang boleh digantikan dengan modul RAM yang bersaiz lebih besar pasca pembelian.
Untuk I/O di sisi kanan terdapat 1x RJ-45, 1x USB-A, 1x bicu audio 3.5mm. Kemudiannya di sisi kiri ada 1x port pengecasan, 2x HDMI 2.1, 2x USB-A dan 1x USB-C. Jumlah port sambungan ini pada saya sangat mencukupi untuk penggunaan harian saya kerana saya tidak akan menggunakan kesemuanya. Penawaran tiga port USB-A memudahkan saya untuk menyambungkan papan kekunci mekanikal, tetikus dan menyambungkan storan SSD luaran.
Kekurangan pada laptop ini adalah skrin dengan bezel yang agak tebal. Bahagian dagu Victus ini lebih tebal dan tidak sekata dengan dahi skrin. Ini adalah antara perkara yang saya benci kerana dagu tebal hanyalah untuk memaparkan logo Victus kerana mungkin HP tidak rasa cukup memaparkan logo di belakang skrin dan juga pada engsel.
Victus 16 adalah seberat 2.31 KG yang tidak begitu berat sehingga tangan dan bahu saya sakit membawanya ke mana-mana. Seperti saya katakan tadi, rekaan laptop ini cukup nipis dan dengan kurang 1KG berbanding Razer Blade 18 ia lebih mudah dimasukkan ke dalam beg ketika saya bekerja di luar pejabat.
PAPAN KEKUNCI
HP Victus 16 ini dilengkapi dengan papan kekunci bersaiz penuh termasuk pad kekunci nombor. Ia turut menyokong RGB tetapi terhad kepada satu zon. Ini adalah saiz papan kekunci yang sangat saya hargai kerana lengkap semua yang saya akan gunakan. Cuma penggunaan awal rasa sedikit janggal kerana susun atur yang sedikit kompak. Saya mengambil masa sekitar tiga hari untuk membiasakan diri.
Menurut HP, suis yang digunakan adalah jenis gunting dengan selaput membran. Disebabkan ini tidak begitu selesa untuk ditaip. Lebih-lebih lagi apabila saya perlu menaip artikel setiap hari, ia terlampau lembut dan jarak jari saya yang rapat membuatkan saya kerap tertekan kekunci berlainan. RGB juga tidak begitu cerah dan ini tidak memberikan pengalaman gaming yang terbaik untuk saya.
PAD SESENTUH
Satu lagi isu yang saya hadapi adalah pad sesentuh yang kecil dan tidak berada di tengah. Ia kelihatan janggal kerana terlalu ke kiri. Kemudian walaupun HP menggunakan perisian Windows Precision dan memanggilnya HP Imagepad, ia tidak begitu sedap ditekan dan kurang sensitif. Kawalan gestur Windows kerap gagal apabila saya menggunakan tiga jari untuk menukar antara tetingkap yang telah dibuka.
PENGGUNAAN Dan PENANDA ARAS
Kerana harganya yang lebih tiga kali murah berbanding Razer, HP Victus 16 ada beberapa pengorbanan yang dilakukan iaitu menggunakan cip pemprosesan dan kad grafik yang kurang berkuasa. Walaupun begitu, menjalankan banyak aplikasi serentak masih lagi lancar begitu juga bermain permainan video dengan tetapan Ray Tracing dihidupkan.
Cip yang digunakan adalah Intel Core i5 generasi ke-13 yang boleh mencapai kelajuan 4.7GHz. Ia dipadankan dengan GPU NVIDIA GeForce RTX 4070 8GB RAM GDDR6 serta memori 16GB DDR5, storan dalaman SSD 512GBPCIe Gen4. Seperti yang katakan di bahagian rekaan, RAM boleh dinaiktaraf jika 16GB ini dirasakan tidak mencukupi.
Kerana saya hanya mempunyai masa dua minggu menguji laptop ini, saya hanya sempat bermain Resident Evil Village. Pengalaman saya bermain permainan ini adalah baik-baik sahaja. Permainan ini mencadangkan tetapan yang bercampur antara Max dan juga yang di pertengahan. Misalnya, tetapan Ray Tracing agak terhad kerana memori GDDR6 yang tidak mencukupi begitu juga dengan tetapan grafik untuk meningkatkan lagi butiran watak dan pemandangan dalam permainan video.
Sepanjang bermain, sekitar 15 minit kipas sudah mula bising dan berpusing pada kelajuan yang tinggi. Walaupun begitu, tiada sebarang lengah masa berlaku cuma kualiti yang dipaparkan tidak mencukupi untuk saya. Skor penanda aras yang saya terima dalam ujian PCMark 10 dan 3DMark adalah seperti imej-imej atas. Anda akan lihat markahnya adalah jauh lebih rendah tetapi percayalah penggunaan sebenar adalah memuaskan dan padan dengan harga jualan.
Saya tidak sempat menguji kemampuan SSD yang digunakan tetapi spesifikasi yang digunakan adalah lebih kurang sama dengan yang digunakan pada Razer. Malah pemasangan aplikasi dan pemindahan fail adalah cukup pantas lebih kurang sama sahaja dengan Razer Blade 18.
AUDIO
Terdapat dua pemandu audio sahaja pada laptop ini. Ia menggunakan teknologi Bang & Olufsen dan juga HP Audio Boost. Kekisi speaker berada di bahagian atas papan kekunci dan ia biasa sahaja. Audio yang dihasilkan tidak cukup kuat, bass yang ada tidak berdentum pada tahap memuaskan serta ia tidak mampu menyembunyikan bunyi kupas yang bising. Ini memaksa saya bergantung kepada fon kepala semasa menguji bagi menghalang bunyi ini.
BATERI
HP Victus 16 2023 ini menggunakan bateri berkapasiti 76Wh dengan pengecas Smart AC 230W. Saya sebenarnya kurang gemar menggunakan laptop yang bergantung kepada pengecas tersendiri yang besar sedangkan pengecas USB-C sekarang sudah boleh mencapai sehingga 240W. Laptop ini memerlukan pengecas khas untuk mod prestasi tinggi. Pengecasan USB-C terhad kepada 100W sahaja untuk tugasan yang ringan.
Ketahanan bateri hanya sekitar 3 jam sahaja. Ini mungkin kerana perisian Omen Gaming Hub yang tidak cukup pintar mengawal penggunaan kuasa dan menguruskan memori. Selepas dua hari tidak menggunakan laptop ini, hari ketiga apabila saya hidupkan ia secara automatik berjalan pada mod prestasi tinggi dengan bateri terus turun 20% dalam masa 20 minit.
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x HP Victus 16 r0030TX
- 1x Bongkah pengecas 240W Smart AC.
- 1x Kabel kepala 3 pin.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
HP Victus 16 r0030TX ini pada saya adalah komputer riba yang cukup baik untuk mereka baru berjinak-jinak dengan permainan video PC . Ia lebih sesuai kepada pengguna yang tidak begitu serius dalam permainan video tetapi masih ingin menikmati permainan dengan sokongan Ray Tracing. Prestasi juga seimbang untuk kerja-kerja kreatif seperti Photoshop, skrin yang masih cantik dan pantas serta rekaan yang masih nampak minimalis dengan sedikit ranggi.
Harga jualan adalah RM6,299 yang mana harga setanding dengan untuk laptop gaming RTX4070 pada tahun 2023 lain di pasaran. Membeli laptop ini anda pasti tidak menyesal kerana ia akan memberi pengalaman penggunaan yang bersesuaian dengan tanda harga yang ditawarkan.
PRO dan Kelebihan
- Skrin yang cantik dan pantas.
- Prestasi seimbang untuk produktiviti dan gaming Ray Tracing.
- Sokongan I/O serba lengkap dengan HDMI 2.1 bersaiz penuh.
- Rekaan yang minimalis dan ringan untuk sebuah laptop gaming.
KONTRA dan Kekurangan
- Audio Bang & Olusfsen kurang memuaskan.
- Bezel skrin yang tebal dan tidak sekata.
- Binaan yang tidak tahan lasak.