Cari @ Amanz

Ehang merupakan salah syarikat yang memfokuskan kepada pembangunan dron atau teksi-udara, atau turut dipanggil beberapa orang sebagai kereta-terbang. Pelbagai model telah diperlihatkan, termasuk membuat ujian membawa manusia dalam penerbangan.

Terbaru, Ehang telah menerima kebenaran operasi di China, untuk dron EH216-S AAV, yang boleh membawa dua orang manusia pada satu-satu masa. Ini sekaligus menjadikan Ehang sebagai syarikat pertama yang menerima kebenaran operasi berkenaan di China.

Dengan langkah ini juga, ia sekaligus akan memperlihatkan perlumbaan dalam arena teksi-udara akan terus meningkat dalam tahun-tahun akan datang, dan mungkin kita akan melihat ia terus diperluaskan dalam dekad akan datang ini. Mengikut perkongsian Ehang sendiri, mereka menyasarkan teksi-udara menjadi salah satu kebiasaan antara bandar dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Untuk makluman, Malaysia juga merupakan salah satu pelanggan utama untuk Ehang, melalui syarikat Aerotree. Disamping itu, beberapa negara lain yang turut akan membeli dron teksi-udara Ehang ini adalah AirX dari Jepun, dan Prestige dari Indonesia. Sebelum ini, ia turut pernah dipertontonkan dron Ehang di Malaysia, sebagai antara potensi penawaran kereta terbang pertama di Malaysia.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd