Dalam sejarah dunia hanya Rusia, Amerika Syarikat dan China pernah berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas menggunakan sistem roket buatan tempatan. Pada 21 Oktober ini, India akan memulakan langkah pertama untuk menjadi negara keempat melakukannya dengan pelancaran misi TV-D1.
Misi TV-D1 akan melancarkan kapsul angkasa lepas yang boleh membawa angkasawan ke ketinggian sekitar 17 kilometer sebelum ia dilentingkan daripada roket dan kembali ke Bumi menggunakan payung terjun. Sebanyak empat misi ujian sistem kecemasan akan dilakukan sebelum misi Gaganyaan-1 pula melancarkan kapsul ke orbit. Sekiranya semua berjalan lancar, India akan menghantar tiga angkasawan pertama menggunakan sistem roket tersendiri seawal 2025.
Pada asalnya misi ujian sepatutnya dilancarkan pada tahun 2020 tetapi ditangguh akibat pandemik. Tahun ini India juga menjadi negara pertama yang berjaya menghantar proba dan perayau ke kutub selatan Bulan menerusi misi Chandrayaan-3.