Apple Vision Pro generasi pertama dijual pada harga sekitar RM16,000 sebuah yang menjadikannya antara produk paling mahal ditawarkan oleh Apple ke pasaran. Terdapat ramalan Apple akan melancarkan Vision Pro baharu selepas ini yang lebih mampu milik bagi meningkatkan jualannya. Menurut laporan Mark Gurman menerusi Bloomberg, Vision Pro generasi kedua kelak masih lagi tidak mampu milik dengan harga antara $1,500-2,500 (~RM 7,200-RM 11,900) sebuah.

Harga yang lebih rendah ini dicapai menerusi pengurangan jumlah kamera dan tiada skrin EyeSight pada bahagian luar. Model lebih mampu milik ini juga akan menggunakan cip iPhone dan bukan dari siri M seperti pada Vision Pro sekarang.
Strategi Apple dan Meta dalam menghasilkan set kepala VR/AR adalah berbeza. Set kepala Meta Quest hanya dijual pada harga $500 (~RM2370) sepasang dengan ulasan awal pasca pelancaran ia menerima pujian. Pesaing mereka seperti Samsung dan Google menangguhkan pelancaran set kepala selepas pelancaran Vision Pro beberapa bulan yang lalu.
Masih tidak diketahui sama ada Vision Pro akan ditawarkan ke semua pasaran ataupun tidak. Apple menegaskan pelanggan perlu pergi ke Apple Store untuk mengambil ukuran kepala dan melakukan ujian mata sebelum membeli. Dengan Apple Store pertama Malaysia hanya akan dibuka Februari depan, mungkin ia boleh ditawarkan di negara kita di masa akan datang.