Carian
Time Membuka Jerayawara Di IPC Damansara Untuk Memperlihatkan Pakej Gig Speed Home
October 19, 2023 Nazrin

Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa Time Internet telah memperkenalkan pakej penghala WiFi FTTR Gig Speed Home mereka yang menjanjikan kelajuan internet seperti yang ditawarkan oleh pelan internet gentian optik mereka.

Terkini, mereka telah membuka jerayawara di aras tanah di pusat membeli-belah Ikano Power Centre di Mutiara Damansara untuk memperlihatkan bagaimana rumah anda boleh mendapatkan liputan WiFi yang bukan sahaja meluas, tetapi juga dengan kelajuan yang dilanggani oleh pengguna.

Di jerayawara ini, pihak Time akan menerangkan kepada anda bagaimana peranti-peranti penghala WiFi FTTR Huawei F30 akan memberikan anda pengalaman internet nirwayar yang terbaik, pakej peranti penghala yang terbaik untuk ruangan anda dan juga proses bagaimana mereka akan memasang peranti-peranti ini di rumah anda.

Ini adalah kerana setiap penghala WiFi akan disambungkan dengan gentian optik mereka sendiri, dan akan dipasang dengan cara dimana anda tidak akan melihat langsung kabel-kabel ini di sekeliling rumah anda.

Pihak Time mengatakan bahawa bergantung kepada saiz rumah anda, mereka menasihati anda memberi masa dari 2-3 jam ke setengah hari untuk memasangkan penghala-penghala Gig Speed Home ini.

Jerayawara Time Gig Speed Home di Ikano Power Centre Mutiara Damansara ini dibuka bermula hari ini (Khamis, 19 Oktober 2023) sehingga Ahad (22 Oktober 2023) di aras tanah, berhadapan Dome Cafe dan kedai kasut Skechers.

Komen