Apabila pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) diumumkan oleh Google baru-baru ini kerisauan orang ramai ialah adalah kerja mereka kelak akan terhapus. Kerisauan ini bukan sekadar paranoia disebabkan oleh kurangnya kefahaman tentang teknologi. Setiap kali teknologi transformatif diperkenalkan dalam peradaban manusia, pasti ada kerjaya yang terkesan. Pengenalan mesin menghasilkan kain mengorbankan pekerja yang menghasilkan kain secara manual. Pengiklanan penerbitan Internet pula mengorbankan media bercetak.

Duet AI ialah kecerdasan buatan yang digunakan oleh Google pada produk Google Workspace mereka. Pada ketika ini menurut Google mereka mempunyai lebih 3 bilion pengguna Google Workspace dengan 10 juta adalah pelanggan berbayar. Ini menjadikannya platform perisian produktiviti terbesar di dunia.
Beberapa hari lalu saya telah dijemput oleh Google untuk mencuba sendiri beberapa Duet AI yang diberikan kepada pelanggan berbayar sahaja terlebih dahulu. Berdasarkan pengalaman selama beberapa jam ini, saya boleh katakan pengenalan AI boleh membantu mengurangkan masa dihabiskan dengan kerja-kerja remeh dan meningkat produktiviti tetapi dengan kaveat.
Apa Itu Duet AI
Duet AI ialah AI yang dibangunkan khusus untuk membantu organisasi kerja meringkaskan tugasan di pejabat. Menerusi integrasi dengan Google Workspace, Duet boleh membantu menulis emel, menghasilkan ringkasan dokumen yang diterima dalam Gmail, menjana imej dengan hanya menulis, pengganti diri dalam Meet dan banyak lagi.
Google Docs Dengan Duet AI
Di dalam Google Docs gunakan Duet untuk menjadi idea berdasarkan dokumen yang diterima di dalam Gmail. Dalam demo yang dicuba, saya menerima emel mengenai kempen untuk sebuah kedai kopi yang perlu disiapkan sebelum waktu makan tengah hari. Beberapa poin yang dikehendaki oleh klien telah disenaraikan dalam emel tersebut.

Antara arahan yang diberikan ialah menghasilkan slogan untuk kempen media sosial yang akan dilakukan. Idea mengenai bagaimana promosi boleh dilakukan dengan menyasarkan golongan tertentu turut boleh dilakukan. Saya hanya memasukkan prom “jana 10 slogan untuk kempen kopi berdasarkan emel yang diterima daripada X”.
Dalam masa kurang seminit 10 slogan dijana oleh Duet AI di dalam Docs. Prom kemudian boleh diperincikan lagi seperti menggunakan lenggok bahasa lebih remaja, serius atau pilih “I’m feeling lucky” untuk idea yang lebih di luar kotak. Prom untuk kempen pula saya perincikan supaya bertindan dengan perayaan Hari Deepavali yang akan disambut dalam masa terdekat.

Antara saranan kempen yang diberikan ialah menggunakan media sosial, memberikan kupon khas yang perlu ditebus menerusi akaun rasmi syarikat kopi dan banyak lagi.
Kritikan saya hanyalah jawapan yang diberikan adalah sedikit generik untuk sebuah kempen. Tetapi Duet AI tidak dibangunkan untuk menggantikan pekerja manusia dan bekerja sebagai pembantu peribadi. Segala saranan dan idea yang dijana kemudian perlu diperhalusi sendiri oleh pekerja untuk lebih serasi dengan keperluan dunia sebenar. Duet AI menjana rangka dan pekerja manusia kemudian menggunakan kepakaran peribadi untuk menghasilkan dokumen akhir yang lebih sempurna.
Google Slide Dengan Duet AI
Berdasarkan idea yang dijana dia atas, saya kemudiannya diberikan tugasan menghasilkan satu slaid yang perlu dibentangkan kepada klien. Aplikasi Google Slide pula digunakan. Slaid yang baik memerlukan imej yang menarik perhatian. Di sini Duet AI digunakan pula untuk menjana imej yang boleh digunakan dalam slaid.

Kerana saya menghasilkan kempen untuk kedai kopi, saya menjana imej secawan kopi dan beberapa menu yang akan ditawarkan. Seperti Bing Chat dan Midjourney, Duet AI akan menjana empat imej berdasarkan prom yang dimasukkan. Kotak menjana imej diletakkan pada bucu atas kanan.
Satu kelebihan pada penjana imej Duet AI ialah terdapat menu gaya imej yang ingin dijana seperti lukisan catan air, gambar realistik, cyberpunk, lakaran, vektor dab banyak lagi. Imej yang dihasilkan kemudian boleh ditarik dari tab penjanaan imej terus ke slaid yang diperlukan.
Google Meet Dengan Duet AI
Satu demo yang tidak sempat diperlihatkan secara langsung tetapi hanya dalam bentuk video ialah Meet dengan Duet. Terdapat banyak ciri yang relevan diperlihatkan dengan salah satunya ialah Duet akan mencatatkan maklumat penting yang telah dibincangkan oleh peserta telesidang. Dengan nota ini sesiapa sahaja yang terlewat menyertai perbincangan boleh melihat senarai topik yang mereka terlepas.

Sebuah lagi ciri ialah menyertai sesi Meet menggunakan avatar sebagai pengganti diri yang diberi nama Attend For Me. Gambar statik akan menjadi pengganti diri dengan selepas usai sesi telesidang, nota yang diambil akan dihantar kepada emel mereka yang tidak dapat menyertai sesi tadi.
Kemampuan menjana imej latar belakang juga boleh digunakan dalam Meet. Masukkan prom dan imej yang dijana kemudiannya boleh terus digunakan sebagai latar belakang yang unik.
Google Sheets Dan Menghasilkan Aplikasi Dengan Duet AI
Sebuah lagi ciri yang tidak sempat saya gunakan siri melibatkan Sheets. Contoh yang diberikan ialah laporan kewangan syarikat yang dilampirkan Gmail boleh dianalisa oleh Duet. Berikan arahan untuk menyenaraikan produk paling merugikan, menguntungkan atau bilakah masa terbaik untuk menawarkan promosi misalnya dan Sheets akan menjana kertas kerja yang berkaitan.

Kemudian berdasarkan maklumat dalam Sheets tadi, Duet AI boleh menjana aplikasi tanpa pengguna perlu mengenai bahasa pengaturcaraan. Arahkan Duet untuk menghasilkan aplikasi inventori kedai yang memberikan notifikasi apabila stok berkurangan atau jualan tidak memuaskan.
Janji Google
Yang saya rasakan agak menarik ialah Google berjanji akan memastikan setiap imej dan kandungan di jana harta inteleknya dipegang oleh pelanggan. Ini adalah berbeza dengan AI generatif pesaing yang harta intelek tidak boleh dipegang oleh sesiapa.
Google Worspace dengan Duet AI kini ditawarkan kepada pelanggan Google Workspace di beberapa pasaran utama dunia termasuk Malaysia. Saya difahamkan pada waktu ini sokongan bahasa masih terhad kepada Inggeris.
Apa yang boleh saya katakan kemampuan Duet adalah mirip dengan majoriti AI generatif generasi pertama. Belum cukup menakjubkan untuk menggantikan manusia tetapi cukup berguna untuk membantu mempercepatkan proses melakukan kerja di pejabat dan menghasilkan. Sama ada anda bersedia atau tidak, kerja-kerja remeh akan diambil alih oleh AI. Manusia hanya akan berguna jika mereka bekerjasama dengan AI dalam masa terdekat.