Carian
MPB Arah Pembinaan Tol Genting Dihentikan Kerana Belum Mendapat Kebenaran
October 20, 2023 Effi Saharudin

Misteri mengenai tol untuk pergi ke Genting Highlands hari ini menjadi semakin kusut selepas Majlis Perbandaran Bentong (MPB) mengeluarkan arahan supaya pembinaannya dihentikan serta mereka. Menurut laporan New Straits Time, walaupun dibina di atas tanah persendirian pihak pemaju perlu mendapat permit serta kelulusan daripada majlis perbandaran. Tambahan lagi pembinaan tol di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan terlebih dahulu.

Gambar pembinaan tol di Gohtong Jaya mula tular sejak awal minggu ini menimbulkan spekulasi Genting sebagai pemilik jalan ke Genting Highlands akan mula mengutip tol. Sejak dibuka pada tahun 1965, penyelenggaraan jalan raya ke pusat peranginan terkemuka ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Genting tanpa sebarang bayaran dikenakan. Dalam laporan terdahulu, adalah dipercayai kutipan tol akan diambil sehala sahaja dengan ia bermula Jun tahun 2024.

Reaksi orang awam terhadap gambar tol yang sedang dibina majoritinya adalah negatif. Mereka sudahpun perlu membayar tol untuk menggunakan Lebuhraya Pantai Timur dan kos tambahan ini membuatkan ramai ingin memboikot daripada melawat lokasi pelancongan yang terkenal dengan taman tema, hawa sejuk dan perjudian ini.

Komen