Ericsson ialah syarikat pembekal kelengkapan komunikasi tempatan, dan salah satu daripada syarikat-syarikat yang telah membantu dalam membangunkan infrastruktur rangkaian 4G dan 5G di Malaysia.
Baru-baru ini, mereka telah mengeluarkan sebuah laporan global mengenai corak penggunaan pelanggan rangkaian 5G yang dinamakan “5G Value: Turning Performance into Value” yang menengahkan potensi nilai perkhidmatan rangkaian 5G kepada pengguna sedia-ada, dan juga mereka yang berminat untuk mula menggunakan rangkaian internet pantas tersebut.
Laporan tersebut memperlihatkan bahawa kebanyakan pengguna telah mula melanggani perkhidmatan rangkaian 5G bukan sahaja kerana ia hadir untuk dimanfaatkan, tetapi juga telah memperlihatkan peningkatan dari segi kualiti untuk sejumlah perkhidmatan internet mudah-alih, seperti mutu penstriman video pada resolusi tinggi yang lebih baik, kemaskini dan penggunaan permainan mudah-alih yang lebih pantas dan stabil dan juga panggilan suara dan video yang lebih jelas dan berkualiti.
Untuk pasaran Malaysia, sejumlah sampel yang mewakili 14 juta pengguna internet mudah-alih di Malaysia memperlihatkan bahawa seramai lima juta pengguna peranti pintar sudahpun menggunakan peranti dengan sokongan 5G, tetapi masih lagi belum melanggani pelan dengan rangkaian 5G setakat ini.
16 peratus daripada peserta tinjauan ini mengatakan bahawa mereka masih lagi menggunakan peranti 4G yang berumur dua tahun dan keatas, tetapi mahu menaiktarafkan peranti mereka kepada sesuatu yang menyokong rangkaian 5G dalam masa 6 bulan.
Laporan tersebut juga mengatakan bahawa pengguna rangkaian 5G di Malaysia mahukan penawaran yang berbeza dari langganan 4G, seperti kuota data yang lebih tinggi, berkas langganan perisian eksklusif dan juga langganan pelan dengan jaminan kelajuan minima yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Malaysia, David Hägerbro mengatakan bahawa Malaysia sudahpun mempunyai rangkaian internet 5G yang bertaraf dunia dan pengalaman pelanggan yang rata-rata memperlihatkan kepuashatian yang lebih tinggi berbanding dengan penggunaan perkhidmatan rangkaian 4G.
Walaupun begitu, perlu juga diingatkan bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmii Fadzil juga telah mengatakan bahawa walaupun liputan rangkaian 5G kini meningkat ke 70 peratus di kawasan berpenduduk, hanya 4.2 peratus sahaja daripada mereka yang menggunakan pelan rangkaian 5G setakat ini.