Nilai syarikat X turun menjunam seperti burung rajawali memburu ikan dan pendapatan juga berkurangan seperti nilai Ringgit berbanding Dollar sejak diambil alih oleh Elon Musk. Hampir kesemua tindakan Musk untuk menjadi X sebuah aplikasi super juga masih belum nampak akan berjaya. Kini manusia terkaya dunia ini mengesahkan dua pelan baharu X Premium akan ditawarkan.
Pelan pertama yang lebih murah menawarkan kesemua ciri pada X tetapi dengan iklan. Pelan kedua yang lebih mahal pula adalah sama cuma tanpa sebarang iklan akan dipaparkan pada susur masa. Beliau tidak pula mengatakan apakah bayaran langganan bulanan untuk kedua-dua pelan ini.
Hanya beberapa hari lalu X mengumumkan akaun baharu di beberapa negara perlu membayar $1 setahun untuk menggunakan platform. Ini adalah bagi mengelakkan jumlah akaun bot yang menghantar spam kepada pengguna.
Dengan semua pelan sebelum ini tidak berjaya, kebarangkalian dua pelan langganan baharu ini akan dapat membantu pendapatan syarikat adalah amat rendah. Sebelum ini muncul laporan pelanggan X Premium (dahulunya Twitter Blue) adalah sekitar 290,000 sahaja yang hanya menjana $2.3 juta sebulan yang langsung tidak dapat menanggung kos operasi.