Bersempena dengan pelancaran kapsul angkasa TV-D1 yang akan berlaku esok, 21 Oktober 2023, kerajaan India, melalui Perdana Menteri mereka, Narendra Modi telah membuat pengumuman baru mengenai program angkasa mereka.
Menurut pengumuman tersebut, beliau mengatakan bahawa mereka akan membina dan melancarkan stesen angkasa mereka sendiri menjelang 2035, dan akan menghantar angkasawan India pertama ke bulan pada tahun 2040 kelak.

Kesemua pengumuman dan juga pelancaran TV-D1 ini adalah sebahagian daripada misi Gaganyaan, yang juga termasuklah 20 ujian besar-besaran dan tiga pelancaran roket tanpa manusia ke angkasa. Pelancaran roket TV-D1 merupakan ujian terbesar mereka setakat ini, yang akan menentukan samada mereka sedia untuk pelancaran rasmi Gagaanyan-1 pada 2025 kelak yang akan melibatkan tiga angkasawan.
Pelan angkasa masa hadapan negara tersebut juga termasuklah misi mengorbit planet Zuhrah dan juga untuk melancarkan kenderaan berkelana di planet Marikh. Jangkamasa untuk projek-projek ini tidak diketahui lagi buat masa ini.