Carian
Apple Dijangka Mengintegrasikan Sokongan AI Dan Tambah-Baik Siri Melalui iOS 18
October 23, 2023 Aman

Pada tahun ini, pelbagai syarikat memperkenalkan ciri-ciri memfokuskan kecerdasan buatan, termasuk Google. Namun, Apple tidak menyentuh berkenaan dengannya secara mendalam. Melalui Bloomberg, ia dilaporkan Apple terkejut dengan pelbagai penawaran melibatkan kecerdasan buatan pada tahun ini, dan kini melakukan pelaburan tinggi supaya tidak ketinggalan dalam arena tersebut.

Sebelum ini sendiri, ia telah diperkatakan Apple sedang melakukan ujian dalam untuk chatbot berasaskan AI mereka tersendiri, dikenali secara dalaman syarikat sebagai Apple GPT.

Apple Siri

Mengikut laporan terkini, Apple merancang memperkenalkan sejumlah penambah-baikkan dan integrasi sokongan kecerdasan buatan (AI) pada iOS generasi akan datang, iaitu iOS 18.

Beberapa perkara yang sedang dilihat adalah termasuk kemudahan membangunkan dokumen melalui Pages dan Keynote – seperti mana yang telah dilakukan Microsoft pada Microsoft Office. Pengguna boleh melakukan input ringkas, dan dokumen berkaitan dijana – sekaligus memudahkan lagi proses membangunkan dan menyiapkan sesuatu dokumen.


Ciri lain yang dilihat juga termasuk seperti membalas dengan pantas pada Messages, integrasi pada Apple Music dalam membantu menemui lagu baharu, serta menjadikan Siri lebih pintar lagi.

Dengan perkembangan terbaru ini, sama-sama kita nantikan apakah langkah seterusnya Apple supaya tidak ketinggalan dalam arena kecerdasan buatan ini.

Komen