OnePlus 12 dijangka akan dilancarkan pada hujung tahun ini di pasaran China terlebih dahulu. Rekaan peranti yang tertiris tidak membawakan banyak perubahan berbanding OnePlus 11 tetapi spesifikasi dalamannya dilaporkan akan menjadikannya antara peranti paling berkuasa 2024.
Menurut maklumat daripada Digital Chat Station, OnePlus 12 akan kekal menggunakan kamera Hasselblad cuma kali ini dengan sokongan sensor periskop 3x zum. Cip pula dikatakan adalah Snapdragon 8 Gen 3 dan skrin mungkin mencapai kecerahan 2600 nits atau 3000 nits jika OnePlus menggunakan panel BOE baharu. Terbaru, Digital Chat Station melaporkan yang OnePlus 12 turut akan menyokong USB-C dengan teknologi USB 3.2.
USB 3.2 boleh memberikan sokongan pemindahan data yang lebih pantas sehingga 20Gbps dan lebih stabil. Selain itu, OnePlus turut dikatakan akan mengembalikan sokongan pengecasan nirwayar 50W dan juga menyertakan sensor infra merah untuk dijadikan alat kawalan jauh.
Jika OnePlus mengekalkan ciri dan fungsi yang menarik sedia ada pada OnePlus 11 kepada OnePlus 12 bersama dengan perkara yang disebutkan di atas, peranti mercu baharu mereka ini berpotensi menjadi pesaing sengit kepada pengeluar peranti lain. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai peranti ini nanti.