Carian
Seperti Yang Lain, Amazon Kini Turut Menambah Sokongan Untuk Passkey
October 26, 2023 Fahim Zahar

Jika anda mempunyai akaun Amazon dan kerap membeli-belah pada laman e-dagang popular ini, terbaru Amazon telah mengintegrasikan sokongan Passkey. Passkey adalah kaedah log masuk baharu yang sedang diimplementasi oleh sejumlah syarikat dalam memudahkan pengguna log masuk tanpa kata laluan.

Dengan Passkey, keselamatan akaun adalah lebih terjamin kerana ia bergantung kepada imbasan biometri cap jari, wajah atau juga pin. Ia turut melepasi piawaian Fido Alliance dan telah disokong oleh Google, Apple, Microsoft dan pelbagai syarikat teknologi.

Buat masa ini, hanya laman web Amazon sahaja menyokong Passkey. Aplikasi Amazon Shopping untuk iOS dan Android akan dikemaskini tidak lama lagi. Untuk perkhidmatan Amazon lain seperti Prime Video, mereka masih tidak mengumumkan apa-apa lagi buat masa ini.

Semakin hari semakin banyak perkhidmatan mula menyokong Passkey. Minggu lepas, ia telah diintegrasikan pada aplikasi WhatsApp untuk Android. Kelak anda akan melihat lebih banyak perkhidmatan menyokong sistem log masuk tanpa kata laluan ini.

Komen