Carian
Ulasan Samsung Galaxy S23 FE – Peranti Alternatif Dengan Harga Lebih Rendah
October 30, 2023 Rihhadatul Aisy

Samsung kembali lagi menawarkan peranti “Edisi Peminat” Samsung Galaxy S23 FE yang dipasarkan sebagai peranti alternatif kepada Galaxy S23 dan Galaxy  S23 Plus. Spesifikasinya berbeza dengan siri Galaxy S23 maka adakah S23 FE masih lagi sebuah peranti yang mengagumkan dan berbaloi untuk dibeli di Malaysia?

SPESIFIKASI

Samsung Galaxy S23 FE
Skrin6.4” Dynamic AMOLED 2X. 120Hz
1080 x 2340 pixel (403ppi)
Gorilla Glass 5
PemprosesExynos 2200 (4nm
Cip1 X 2.8 GHz Cortex-X2
3 X 2.50 GHz Cortex-A710
4 X 1.8 GHz Cortex-A510
Cip GrafikXclipse 920
RAM8GB RAM LPDDR5
Muatan Dalaman128/256GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP f/1.8, PDAF, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
8MP f/2.4, PDAF, 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto10MP f/2.4
Bateri4500mAh
Pengecasan berwayar 25W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanImbasan cap jari bawah skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanRM 2999 (8GB/128GB)
RM 3299 (8GB/256GB)

REKAAN
Warna peranti yang saya terima ialah warna Hijau (Mint) walau bagaimanapun peranti ini didatangkan dengan 4 pilihan warna dalam pasaran iaitu warna Ungu, Krim, Grafit dan Hijau. Bahagian bingkai peranti pula diperbuat daripada aluminium. Menurut Samsung, rekaan Samsung Galaxy S23 FE ini diambil daripada rekabentuk ikonik Siri Galaxy S23 dan mengutamakan nilai estetika klasik dalam rekaannya.

Bahagian hadapan dan belakang peranti pula menggunakan panel kaca Gorilla Glass 5 yang bertujuan untuk melindungi tubuh peranti agar lebih tahan lama sekaligus menambah nilai kosmetik pada peranti. Dari segi tahap perlindungan, ia tidak setanding S23, S23+ dan S23 Ultra yang dilengkapi Gorilla Glass Victus 2 serta kerangka Armor Aluminium yang lebih tahan lasak.

Butang kuasa dan laras audio adalah di bahagian sisi kanan dan sedap ditekan. Pada bahagian bawah pula terdapat kekisi audio serta lubang pengecasan manakala talam untuk SIM diletakkan di bahagian atas. Dua SIM nano disokong bersama dengan satu eSIM.

Kemudian pada bahagian belakang pastinya terdapat lensa kamera dengan rekaan tiga bonggol kamera yang timbul dan sekali pandang sama sahaja seperti rekaan pada siri A54 dan A35. Perkara ini berikutan tindakan Samsung yang mahu menyeragamkan kesemua rekaan peranti keluarannya tahun ini. 

Tubuh peranti terasa premium ketika dipegang dan selesa dalam genggaman tetapi peranti ini agak berat (209g) berbanding dengan Samsung Galaxy S23 keluaran Samsung sebelum ini dengan berat (167g) yang jauh lebih ringan. Pada pandangan saya, rekaan luar tubuh peranti seolah-olah menerapkan elemen minimalis dari segi rekabentuk dan juga warna yang tersedia. Bergantung pada penilaian dan citarasa sesetengah pihak, tapi saya secara peribadi merasakan rekaannya terlalu sederhana menjadikan peranti ini nampak seperti murah. 

SKRIN
Seterusnya, skrin peranti Samsung Galaxy S23 Ultra ini adalah rata dan terdapat bulatan kecil pada bahagian atas skrin untuk kamera swafoto. Peranti ini juga menggunakan kaca jenis Gorilla Glass 5 untuk tujuan perlindungan. Skrinnya juga memilki kadar segar semula 120Hz dengan skrin Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.4” dan beresolusi HDR10+. Namun kadar segar semula boleh diubah kepada 60Hz di bahagian tetapan jika bateri peranti ingin dijimatkan. 

Saya juga menggunakan peranti ini untuk menonton beberapa kandungan video dengan kadar resolusi tinggi di Youtube. Penghasilan warna yang terang serta kejelasan paparan video adalah baik dan jelas. Saya percaya peranti ini juga mampu memberikan pengalaman menonton yang baik di Netflix dengan sokongan mod HDR yang disediakan. Tetapi, sedikit kekurangan pada skrin ialah bezel agak tebal namun tidak begitu mengganggu paparan ketika menonton video atau ketika menggunakan aplikasi lain.

BIOMETRI

Ciri pengimbas cap jari pada peranti terbina pada bahagian bawah skrin dan berfungsi dengan baik kerana ia dapat mengesan jari dengan pantas. Tetapi, saya boleh katakan bahawa saya sedikit ralat dengan pengalaman menggunakan imbasan wajah pada peranti. Hal ini kerana ia kerap kali gagal mengesan wajah saya ketika ingin menyah-kunci peranti dan saya perlu mencubanya beberapa kali sebelum ia akhirnya berjaya mengesan. Jadi saya lebih memilih untuk menggunakan pengesanan cap jari atau memasukkan nombor pin sebagai kata kunci.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – One UI 5.1

Samsung Galaxy S23 FE ini menggunakan cip pemprosesan Exynos 2200, memori bersaiz 8GB RAM (RAM maya sehingga 8GB) dan storan dalaman sebesar 128GB Peranti ini juga didatangkan dengan sistem Operasi versi One UI 5.1 berasaskan Android 13 dan sepanjang penggunaan, semua aplikasi dapat dijalankan dengan lancar tanpa perlu berhadapan dengan sebarang masalah lengah masa ataupun tersekat-sekat.

Meskipun banyak aplikasi dijalankan secara serentak dan kerap bertukar-tukar penggunaan, tatalan masih lagi lancar. Samsung Galaxy S23 FE ini juga disahkan menerima kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun. Oleh itu, buat mereka yang mahukan peranti yang boleh digunakan untuk jangka masa yang lama, Samsung Galaxy S23 FE ini adalah peranti yang sesuai.

Ciri-ciri dan fungsi lain yang saya gemari pada peranti ini antaranya ialah:

  • Colour Palette – Julat warna pilihan boleh diubahsuai mengikut citarasa agar warna ikon aplikasi, butang dan latar belakang berubah mengikut warna pilihan yang disukai.
  • Stacked Widgets – Boleh menyesuaikan Widget pada paparan skrin dengan menggunakan fungsi Stack Widget.
  • GIFs – Boleh mencipta imej GIF daripada foto dalam Galeri tanpa perlu memuat turun aplikasi berbeza.
  • Emergency SOS – Butang sisi ditekan sebanyak 5 kali untuk membuat panggilan dan mesej kecemasan. Lokasi semasa juga dapat dihantar terus kepada semua senarai kenalan kecemasan agar bantuan dapat segera diterima.
  • Remaster Feature – Ciriremaster feature’ ini membolehkan kualiti gambar ditingkatkan agar lebih jelas dan cantik tanpa perlu memuat turun aplikasi yang berbeza.

PENANDA ARAS – Exynos 2200

Semasa peranti ini mula-mula dilancarkan di Malaysia dan spesifikasinya didedahkan beberapa minggu lalu. Ramai mula menyuarakan rasa ralat dan kecewa apabila cip pemproses Exynos 2200 didatangkan bersama Samsung Galaxy S23 FE. Hal ini kerana ramai merasakan bahawa Exynos 2200 bukan cip pemproses yang baik.

Walau-bagaimanapun, sepanjang tempoh dua minggu saya menggunakan peranti ini, tiada sebarang masalah prestasi yang ketara berlaku. Semua aplikasi dapat dijalankan dengan baik dan lancar. Tetapi tidak saya nafikan, masih berlaku isu pemanasan semasa menggunakannya. meskipun masalah pemanasan yang ketara tidak berlaku semasa memainkan permua, namun saya sedari peranti menjadi panas ketika saya menggunakannya untuk melakukan panggilan video dalam durasi lebih 10 minit. Bukan itu sahaja, kelancaran panggilan video juga terkesan semasa pemanasan pada tubuh peranti berlaku. 

Bagi mengukur prestasi peranti, ujian penanda aras menggunakan Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark menunjukkan markah penanda aras yang berada pada tahap yang baik. Berikut adalah hasil keputusan penanda aras dan perbandingannya dengan Nothing Phone (2) dan Oppo Reno10 Pro+ yang menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1.

Geekbench 6

  • Samsung Galaxy S23 FE – 1599/3876
  • Nothing Phone (2) – 1734/4576
  • Oppo Reno10 Pro+ – 1408/3786

AnTuTu 3D

  • Samsung Galaxy S23 FE – 1,003,909
  • Nothing Phone (2) – 1,142,277
  • Oppo Reno10 Pro+ – 1,137,709

Wild Life Extreme

  • Samsung Galaxy S23 FE – 2240
  • Nothing Phone (2) – 2584
  • Oppo Reno10 Pro+ – 2754

Meskipun banyak keluhan daripada orang ramai setelah mengetahui Samsung Galaxy S23 FE ini hadir dengan cip pemproses Exynos 2200 kerana ragu-ragu dengan kemampuannya, dalam ulasan ini saya ingin mengatakan bahawa keraguan tersebut bertentangan dengan pengalaman saya sepanjang menggunakan peranti ini sebagai peranti harian.

KAMERA

Ulasan ini saya teruskan dengan memberikan pandangan mengenai kemampuan kamera peranti dimana bahagian ini merupakan bahagian yang paling saya gemari pada peranti. Samsung Galaxy S23 FE ini didatangkan dengan tiga kamera di bahagian belakang iaitu dengan kamera sudut lebar 50MP, 12MP lensa ultra sudut lebar dan 8MP untuk telefoto. Hasil gambar menggunakan peranti ini sangat cantik dan jelas. Warna gambar juga adalah terang dan tampak realistik. 

Saya sangat gembira apabila melihat hasil tangkapan gambar menggunakan mod ultra sudut lebarnya yang sangat baik. Kejelasan objek dalam gambar masih terpelihara, fokus tidak lari dan keterangan warna juga tetap konsisten. 

Kemampuan zum pada Samsung Galaxy S23 FE ini juga wajar saya berikan pujian kerana ia boleh melakukan sehingga 30x zum. Walau bagaimanapun hasil gambar dengan tangkapan sehingga 30x zum adalah kurang memuaskan dan kejelasan gambar tidak lagi dipelihara dengan baik. Tetapi kadar zum pada 5x masih lagi baik dan hasil gambar tetap terlihat tajam, jelas. Warna gambar yang terang juga berjaya menghasilkan gambar yang mengagumkan. 

Tangkapan gambar pada waktu malam juga jelas dan kamera peranti ini masih mampu menghasilkan gambar yang terang dan kurang hingar walaupun dalam keadaan cahaya malap pada tetapan mod malam. Keupayaan kamera untuk menghasilkan gambar yang baik pada waktu malam ini pastinya dibantu oleh sistem Nightograpfy yang tersedia pada peranti. 

Manakala hasil gambar swafoto menggunakan kamera hadapan Samsung Galaxy S23 FE ini terlihat lebih lembut dan warnanya sedikit pudar jika dibandingkan dengan kamera belakang. Keperincian latar belakang juga kurang jelas. Tetapi secara asasnya, kualiti hasil gambar swafoto menggunakan peranti ini masih berada pada tahap yang baik dan dapat mengesan subjek utama secara jelas.

Samsung Galaxy S23 FE ini juga memiliki keupayaan merakam video pada resolusi 1080p sehingga 240fps, 4K pada 30fps dan 8K. Pada kebiasaannya saya hanya akan merakam video dengan resolusi 4K dan saya percaya rata-rata pengguna juga begitu. Tetapi buat mereka yang suka merakam video dengan resolusi 8K atau perlu menggunakannya atas sebab-sebab tertentu maka peranti ini pastinya dapat memenuhi keperluan anda.

BATERI

Saya boleh menulis dengan yakin yang saya kagum dengan bateri pada peranti ini di mana ia hadir dengan kapasiti bateri sebesar 4500mAh yakni lebih besar daripada Samsung Galaxy S23. Bateri peranti boleh bertahan sepanjang hari setelah dicas sepenuhnya dan bacaan SOT pula mencapai sekitar 7 hingga 8 jam untuk kadar penggunaan ringan menjangkau tempoh 2 hari penggunaan.

Samsung Galaxy S23 FE juga menyokong pengecasan 25W yang mengambil masa lebih kurang sejam untuk mengecas bateri sepenuhnya. Pengecasan tanpa wayar juga boleh digunakan sekaligus menjadikan peranti ini setanding dengan peranti mercu tetapi dengan harga yang lebih rendah. Hanya kabel USB-A ke USB-C berwarna hitam sahaja disertakan bersama tanpa kepala pengecas. 

PERANTI PESAING

Samsung Galaxy S23 FEOppo Reno10 Pro+Nothing Phone (2)
6.4” AMOLED 2X, 1080 X 2340, 120Hz, (403 PPI), HDR10+6.7” AMOLED 1.5K, Pro XDR
Warna 10-bit, 120Hz
6.7” OLED LTPO, FHD+, 120Hz, HDR10+
Exynos 2200 (4nm)
1 X 2.8 GHz Cortex-X2
3 X 2.50 GHz Cortex-A710
4 X 1.8 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-X2
3 x 2.75 GHz Cortex-A710
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Xclipse 920Adreno 730Adreno 730
8 GB RAM12 GB LPDRR516 GB LPDDR5
128/256 GB UFS 2.2256GB UFS 3.1256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
8MP f/2.4, 3x Optikal (Telefoto)
Kamera Utama
50 MP (lebar) PDAF, OIS
64 MP (telefoto periskop)
8 MP(ultra-lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
4K 60p
Kamera Hadapan
10MP f/2.4
Kamera Hadapan
32MP f/2.4
Kamera Hadapan
32-MP f/2.5
IP68Tidak kalis airIP54
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4500 mAh (Berwayar 25W)4700mAh (Berwayar 100W)4700 mAh (Berwayar 45W)
RM 2999 (8/128GB)
RM 3299 (8/256GB)
RM3,499 (12/256GB)RM 2999 (12/256GB)
RM 3499 (12/512GB)

APA DI DALAM KOTAK ?
Berikut ialah senarai apa yang diterima di dalam kotak dengan setiap pembelian Samsung Galaxy S23 FE:

  • 1x Samsung Galaxy S23 FE.
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin Sim.
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN
Pada hemat saya selepas lebih dua minggu menggunakan Samsung Galaxy S23 FE ini, ia merupakan sebuah peranti yang berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Persediaan perisian, kemampuan kamera yang mengagumkan serta prestasinya juga adalah sangat baik. Samsung seolah-olah memberikan peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan ciri Galaxy S23 pada harga yang lebih rendah serta menjanjikan pengalaman penggunaan yang hampir sama.

Jadi, dengan harga RM2999 yang ditawarkan berserta kemampuan dan ciri kalis air yang tersedia pastinya akan memberikan pengalaman penggunaan harian yang baik. Tetapi jika anda seorang yang gemar memainkan permua atau sering melakukan panggilan video, mungkin peranti ini bukan untuk anda kerana isu pemanasan yang kerap dialaminya.

Pro

  • Kemampuan kamera dalam menghasilkan gambar yang berkualiti.
  • Kapasiti bateri 4500mAh yang besar dan jangka hayat bateri yang tahan lama.
  • Paparan skrin 120Hz yang lancar.
  • Kalis air IP68.
  • Sokong 4 versi Android dan sekuriti 5 tahun.

Kontra

  • Pengesanan wajah mengesan agak lambat.
  • Tiada pengecas dalam kotak. 
  • Pengecasan hanya 25W.
Komen