IBM minggu ini mengumumkan prototaip cip baharu mereka yang menggunakan senibina seakan otak manusia. Cip Northpole menurut IBM adalah 20 kali ganda lebih pantas dan 25 kali lebih efisien dalam penggunaan tenaga berbanding cip yang menggunakan senibina semasa.
Cip semasa memerlukan data dihantar antara cip, memori dan peranti lain dalam komputer yang memakan masa serta tenaga. Kekurangan ini diberi nama kesesakan von Neumann (von Neumann Bottleneck) yang diselesaikan oleh Northpole dengan meniru sistem neuron pada otak. Pada Nortpole pemproses dan memori digabungkan sekali pada satu cip bagi mempercepatkan kadar pemindahan data. Ini turut mengurangkan pembaziran tenaga.

Northpole yang menggunakan teknologi 14 nm pada ketika ini mampu menandingi kemampuan cip serta GPU dengan teknologi 4nm yang menggunakan senibina sedia ada. Ia juga mempunyai 22 bilion transistor dan 256 teras CPU.
IBM menyasarkan penggunaan cip Northpole dalam bidang automotif, robotik, pembantu maya dan perkomputeran spatial. Kerana ia kurang menggunakan tenaga, Northpole hanya memerlukan sistem penyejukan kipas dan sinki haba biasa berbanding penyejukan cecair pada cip prestasi tinggi sekarang.
Selain IBM, Samsung turut ingin membangunkan cip dengan rekaan senibina neuromorfik seakan otak manusia. Sehingga kini perkembangan usaha Samsung ini masih belum diketahui.
- Sumber
- IBM