Carian
Pandang Pertama Ray-Ban Meta – Cermin Mata Pintar Yang Nampak Normal
October 26, 2023 Effi Saharudin

Hujung September lalu cermin mata pintar Ray-Ban Meta generasi kedua telah dilancarkan bersama dengan Meta Quest 3. Kaca mata ini tidak dilancarkan di Malaysia dengan jualannya di Amerika Syarikat pula terhad kepada secara atas talian sahaja sejak 17 Oktober lalu. Maka ia produk yang hampir mustahil untuk dilihat apatah lagi dicuba oleh penduduk di Malaysia.

Kami bernasib baik kerana dapat mencubanya sendiri di acara Snapdragon Summit yang sedang berlangsung di Hawaii minggu ini. Alang-alang dapat mencubanya kami menulis artikel ini untuk memberitahu anda mengenai pengalaman menggunakannya selama beberapa minit.

REKAAN

Hanya rekaan Wayfarer sahaja diperlihatkan di Snapdragon Summit dalam warna hitam dan biru lutsinar. Kami lebih sukakan rekaan lutsinar kerana komponen dalaman dapat dilihat membuatkan ia kelihatan futuristik. Terdapat kamera 12MP pada hujung cermin mata kiri dan lampu LED notifikasi pada cermin mata kanan.

Sepasang speaker diletakkan pada setiap tangkai untuk audio stereo. Pad sesentuh dan butang kawalan kamera fizikal pula terletak pada tangkai kanan. Akhir sekali butang kuasa diletakkan pada sisi tangkai kiri di bahagian dalam. Suis adalah dari jenis lungsur yang menunjukkan titik merah apabila Ray-Ban Meta dihidupkan.

Apabila dipakai ia terasa cukup selesa. Tiada banyak beza dengan bingkai cermin mata Ray-Ban Headliner “bodoh” yang kami miliki sekarang. Di dalam tangan ia memang terasa sedikit berat tetapi apabila di muka kami tidak dapat merasakan perbezaan yang ketara. Tiada tekanan pada bahagian hidung atau telinga.

PENGGUNAAN

Penggunaan adalah mudah, Ray-Ban Meta ditambat kepada sebuah telefon. Kami tidak ditunjukkan prosedurnya tetapi wakil Meta mengatakan ia hanya mengambil masa beberapa minit selepas aplikasi di muat turun menerusi Play Store atau App Store.

Cermin mata ini tidak mempunyai paparan holografik seperti Oppo Air Glass. Sebaliknya pemakai perlu mempunyai imaginasi apabila gambar diambil. Butang kawalan kamera pada tangkai kanan perlu ditekan dua kali untuk mengambil gambar. Untuk mod video pula ia perlu ditekan selama beberapa saat. Dalam kedua-dua situasi, pemakai boleh mendengar bunyi seakan butang kamera ditangkap menandakan gambar/video sudah diambil.

Dalam mod video, LED putih pada cermin mata kanan akan berkelip-kelip menandakan rakaman video sedang dilakukan. Ia juga akan berkelip-kelip jika penstriman dilakukan bagi memastikan rakaman video secara rahsia atau tanpa kebenaran tidak dapat dilakukan tanpa disedari. Video yang diambil mempunyai had masa rakaman 2 minit sahaja. Kualiti gambar dan video diambil boleh dilihat di bawah.

Contoh gambar diambil menggunakan Ray-Ban Meta

Kualiti gambar kami rasakan sederhana sahaja dan tidak sebaik kamera pada peranti mercu seperti S23 Ultra atau iPhone 15 Pro Max. Video juga mempunyai kualiti yang sederhana sahaja. Yang pasti ialah nisbah aspek gambar dan video yang diambil adalah tidak konvensional dengan nisbah aspek tang agak aneh.

Kerana tiada viewfinder, gambar yang diambil adalah sedikit ke kiri dari apa yang kami pandang sebelum butang kamera ditekan. Ini kerana kamera diletakkan pada cermin mata kiri. Pemakai perlu berfikir di mana kamera dan kemudian mengagak di mana subjek perlu berdiri sebelum mengambil gambar/video menggunakan Ray-Ban Meta.

BOLEHKAH BERFUNGSI TANPA TELEFON?

Ini persoalan yang baik. Jawapannya ialah ya tetapi selepas ditambat kepada sebuah telefon pintar terlebih dahulu. Selepas itu anda boleh gunakan Ray-Ban Meta seperti cermin mata biasa. Jika di luar jarak tambatan bluetooth di telefon, Ray-Ban Meta akan menyimpan video serta gambar dalam memori sebesar 32GB yang terbina dalam cermin mata. Ini adalah cukup untuk 100 video 30 saat dan 500 gambar.

Gambar dan video ini kemudiannya boleh dimuat turun ke telefon pintar selepas ia kembali ditambat menggunakan bluetooth. Buka aplikasi cermin mata dan ia akan terus bertanya adalah pemakai ingin memuat turun gambar dari memori telefon. Proses muat turun mengambil masa beberapa saat bergantung kepada saiz gambar serta video yang ditangkap.

AUDIO

Akhir sekali ialah audio. Bunyi muzik atau video yang ditonton pada telefon dapat didengari dengan jelas tetapi tidak mengganggu orang sekeliling. Ini adalah kerana ia memang tidak begitu lantang. Cukup-cukup sahaja untuk membuatkan audio dapat didengari dengan jelas tanpa timbul pula isu privasi jika panggilan telefon boleh didengari pula oleh orang lain.

Mikrofon untuk menyeru pembantu maya “Hello Meta” juga mempunyai isu mendengar arahan apabila suasana sekeliling adalah bising. Dalam dewan demo tadi, kami telah cuba beberapa kali tetapi Ray-Ban Meta hanya memberikan respons dalam jumlah yang rendah sekitar 20%. Tetapi ini bukan isu eksklusif Meta. Siri, Alexa dan Google Assistant juga mempunyai masalah mendengar arahan apabila suasana sekeliling bising.

BERBALOI KE?

Jawapan ikhlas daripada saya ialah tidak. Ia sekadar kamera kualiti sederhana yang tidak menakjubkan. Ia tidaklah begitu pintar sehingga membuatkan rasa rugi bila tidak dimiliki. Tanpa paparan holografik. Gambar yang diambil sering senget ke kiri kerana kedudukan kameranya yang terlalu di pinggir bingkai cermin mata.

Pada harga bermula $299 (~RM1413), ia dua kali ganda lebih mahal berbanding cermin mata hitam Ray-Ban Wayfarer biasa yang bermula sekitar RM749. Tetapi jika anda memang mencari sebuah cermin mata pintar yang kelihatan seperti cermin mata Ray-Ban biasa, pilihan anda hanyalah Ray-Ban Meta sahaja pada waktu ini.

Komen