Carian
DNB Melancarkan Pusat Pengalaman My5G Portal Untuk Memperlihatkan Kemampuan Rangkaian 5G Tempatan
October 26, 2023 Nazrin

Rangkaian 5G telah mula dibangunkan sejak 2019 dan mula diperkenalkan secara rasmi kepada rakyat Malaysia pada penghujung 2021, dan sehingga kini, ia dilihat bahawa rangkaian tersebut kini boleh dimanfaatkan oleh sekitar 70 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia.

Syarikat-syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia juga telah mula menawarkan pelan-pelan rangkaian mereka sendiri, tetapi setakat ini, penggunaan rangkaian tersebut masih lagi rendah, pada kadar 7.2 peratus rakyat, sejak penghujung bulan September 2023.

Oleh sebab ini, Digital Nasional Berhad (DNB) telah membuka pusat pengalaman My5G Portal yang memperlihatkan 50 kes penggunaan dan penyelesaian yang merangkumi 12 industri seperti penjagaan kesihatan, bandaraya pintar, keselamatan awam, pengawasan dan keselamatan, automasi pembuatan, logistik, mobiliti dan peruncitan.

Pusat pengalaman ini merupakan sebuah kerjasama diantara DNB dan juga Ericsson untuk memudahkan orang ramai, para pemilik syarikat kecil dan sederhana dan juga pelbagai pihak kerajaan untuk melihat sendiri bagaimana rangkaian 5G dengan sambungan internet yang laju ini boleh memanfaatkan kehidupan dan industri mereka setiap hari.

Pusat pengalaman My5G Portal ini dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil, yang mengatakan bahawa pusat pengalaman ini dapat mencerminkan peranan penting yang dimainkan 5G dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, mewuudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sebagai contoh, DHL dan CelcomDigi baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama dimana syarikat logistik tersebut menggunakan rangkaian 5G untuk menggunakan dron untuk mengautomasikan pengurusan inventori gudang mereka.

Laman web dan pusat pengalaman My5G Portal ini akan dibuka pada 27 Oktober dimana orang ramai boleh menempah slot untuk melawat pusat pengalaman ini dengan percuma. Ia terletak di aras tanah Exchange 106, Tun Razak Exchange dan dibuka setiap hari pada pukul 10 pagi sehingga 6 petang.

Komen