Carian
Apple Mungkin Tidak Melancarkan Kemaskini Apple Watch Ultra Pada Tahun 2024
October 27, 2023 Fahim Zahar

Pada tahun ini, kita telah melihat Apple memperkenalkan kemaskini baharu untuk jam tangan premium mereka, iaitu Apple Watch Ultra 2. Ia hadir dengan rekaan lebih kurang sama, tetapi kemaskini dengan skrin lebih terang, serta sokongan cip baharu yang mengawal sokongan kawalan gestur jari.

Ming-Chi Kuo kini melaporkan yang mana Apple mungkin tidak akan memperkenalkan kemaskini untuk Apple Watch Ultra pada tahun hadapan. Ini kerana tiada sebarang indikasi daripada pembekal yang Apple sedang membangunkan jam ini.

Kuo turut menyatakan ini mungkin kerana Apple sedang menambah-baik kemampuan ciri kecergasan dan kesihatan pada jam selain turut ingin memastikan panel skrin mikro-LED yang akan digunakan melepasi piawaian mereka. Ini juga akan menjadikan setiap kemaskini untuk Apple Watch Ultra lebih bermakna – lebih kurang seperti kemaskini untuk AirPods Max yang mengambil masa beberapa tahun sekali.

Apple Watch Ultra generasi seterusnya dijangka akan dibina dengan komponen cetakan 3D, skrin 2.1″ dan mungkin tiba pada tahun 2025 atau 2026 . Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai jam tangan pintar paling canggih Apple ini.

Komen