Kamera Hasselblad digunakan di permukaan bulan pada kesemua misi Apollo yang dilakukan lebih 50 tahun yang lalu. Kamera filem yang digunakan angkasawan Apollo masih lagi di permukaan bulan dengan hanya filem dibawa pulang ke bumi. Dengan Misi Artemis akan mengembalikan manusia ke permukaan bulan dalam masa dua tahun sahaja lagi, Agensi Angkasa Eropah (ESA) telah memulakan ujian ke atas kamera yang akan digunakan kelak.
Kamera ini diberikan Handheld Universal Lunar Camera (HULC) ini adalah dari jenis digital dan nircermin. Ini bagi membolehkan banyak gambar beresolusi tinggi diambil sepanjang misi di permukaan bulan kelak. ESA tidak mendedahkan kamera pengeluar manakah yang dipilih kali ini tetapi beberapa spekulasi mengatakan ia mungkin sebuah Nikon Z9 berdasarkan lensa yang digunakan serta antaramuka pada panel LCD di belakang kamera.
ESA telah mengubahsuai kamera biasa menjadi HULC dengan memberikannya kemampuan kalis debu bulan, mempunyai beg yang memudahkan ia dibawa oleh angkasawan, penebat untuk digunakan dalam suhu beku bulan dan butang yang boleh diakses walaupun dengan sarung tangan yang besar.
Ujian HULC dilakukan di Lanzarote, Sepanyol kerana ia mempunyai kawasan yang permukaannya menyerupai kawasan pendaratan Misi Artemis kelak. Sebelum digunakan di bulan, HULC akan dihantar ke ISS terlebih dahulu untuk mengujinya dalam situasi sifar graviti.