Samsung mula memberikan kemas kini ke One UI 6.0 yang berasaskan Android 14 hari ini selepas hampir empat minggu sistem operasi ini dilancarkan oleh Google. Tiga peranti pertama yang menerima One UI 6.0 ialah Samsung Galaxy S23 Ultra, Galaxy S23+ dam Galaxy S23.
Menurut laporan Sammobile, kemas kini mula diterima pengguna di Jerman sebentar tadi dengan ia akan diberikan secara berperingkat ke pasaran lain secara berperingkat. Peranti di Malaysia ketika artikel ditulis masih belum menerimanya. Secara lazim, peranti Samsung di Malaysia akan menerima kemas kini sekitar seminggu selepas peranti Eropah.
Samsung semakin pantas menawarkan kemas kini sistem operasi mereka sejak kebelakangan ini. Pada tahun sebelum ini, sistem operasi terkini hanya diterima pada bulan Disember. Siri Galaxy S, Galaxy Z dan Galaxy A mula menerima sokongan empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti sejak tahun lalu. Bagi yang mencari peranti Android dengan sokongan jangka panjang yang konsisten pada semua tahap harga, Samsung masih mempunyai kelebihan berbanding pengeluar lain.