Carian
Ulasan Charby Orbit Infinity – MagSafe Di Mana-Mana Sahaja
November 20, 2023 Fahim Zahar

Charby ialah pengeluar aksesori tempatan yang ditubuhkan oleh bekas pelajar UTM yang mula menawarkan pengecas GaN dan kabel semua-dalam-satu. Mereka kemudian mengalih fokus kepada produk magnetik yang membawakan sokongan seakan MagSafe kepada semua peranti selain iPhone.

Terbaru, mereka telah hadir dengan Charby Orbit Infinity Mount iaitu cagak telefon magnetik yang diperbuat daripada aluminium , direka dengan rekaan sangat nipis dan menyertakan magnet neodimium N52. Orbit Infinity Mount turut direka menjadi sebuah aksesori fleksibel kerana boleh digunakan untuk apa jua situasi.


Orbit Infinity Mount

Cagak jenama tempatan ini adalah antara aksesori premium paling mampu milik yang pernah saya gunakan. Sejak menggunakan siri Orbit tahun lalu, sehingga hari ini hanya jenama ini sahaja menjadi aksesori MagSafe kegunaan harian saya untuk telefon pintar. Orbit Infinity Mount telah memberi saya pengalaman penggunaan yang memuaskan dan saya tidak lagi menggunakan model tahun lepas iaitu Orbit Magnetic Car Mount One-handed.

Cagak ini boleh dilipat kerana mempunyai engsel yang cukup ketat dan kuat. Ini memudahkan saya untuk menyimpannya sama ada di dalam kocek atau di dalam beg. Selama beberapa bulan penggunaan saya, saya telah menggunakan cagak ini pada kereta saya untuk melihat navigasi peta ketika memandu, menjadikannya sebagai monopod untuk mengambil gambar swafoto, menggunakannya di atas meja ketika bekerja atau makan dan menyambungkan Orbit Infinity Mount ini kepada tripod untuk melakukan rakaman video pendek menggunakan iPhone.

Magnet N52 yang digunakan juga cukup kuat, malah lebih kuat berbanding pada aksesori MagSafe yang rasmi. Ketika memandu dan terlanggar bonggol atau lubang peranti saya masih melekat dan cagak itu sendiri sukar untuk tertanggal walaupun tidak menggunakan sebarang pelekat pada permukaan papan pemuka kereta saya.

Saya jarang menemui aksesori seperti ini, kerana biasanya mana-mana cagak adalah jenis yang ada tangkai yang kerap mudah patah atau terus rosak kerana terpisah sendiri dengan tapaknya. Cubaan Charby dengan aksesori ini mengubah cara saya menggunakan peranti untuk memudahkan lagi pelbagai tugasan. Cara lain yang ada saya cuba adalah melekatkannya pada komputer riba untuk menonton video atau membaca novel di Cereka.

Orbit Pad 2 + Gel Pad

Charby Orbit Pad 2 adalah pad magnetik yang membolehkan peranti berpusing 360 darjah untuk menggunakan peranti secara menegak, melintang atau apa jua sudut kesukaan anda. Tetapi untuk melakukannya, seseorang pengguna harus memiliki dua Orbit Pad 2. Ia merupakan kemas kini kepada Orbit Pad tahun lepas dengan rekaan yang lebih nipis. Jika hanya ada satu pad sahaja, ia boleh menjadi magnet tambahan pada peranti untuk digunakan bersama aksesori MagSafe lain.

Aksesori nano gel bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sudah lama diperkenalkan sebagai pemegang peranti yang paling ringkas kerana hanya sejenis pad silikon bergetah dengan gam yang tidak meninggalkan kesan dan boleh digunakan berkali-kali kerana selepas berhabuk ia boleh dicuci dan gamnya akan kembali pulih. Charby menggunakan pad ini sebagai pelekat utama agar pengguna boleh melekatkan cagak Infinity Mount tadi pada kereta, cabut semula lekat pada dinding dapur ketika memasak atau pada cermin ketika merakam video mendandan rambut.

KESIMPULAN

Sekitar dua bulan penggunaan saya boleh katakan ini adalah antara aksesori magnetik kegemaran saya dan paling menarik yang pernah saya gunakan. Saya amat sukakan fleksibiliti pada Charby Orbit Infinity Mount ini yang membolehkan saya melakukan pelbagai tugasan dengan mudah dan lebih efisien. Binaan premium, harga mampu milik, rekaan minimalis dan berfungsi seperti yang dipromosikan bukan sekadar gimik adalah satu contoh yang pengeluar aksesori lain patut contohi.

PRO

  • Rekaan nipis, ringkas, premium dan fleksibel.
  • Magnet N52 Neodimium yang sangat kuat.
  • Menawarkan pelbagai kaedah penggunaan.
  • Menyokong mana-mana peranti Android dan iPhone.
  • Harga mampu milik.

KONTRA

  • Nano gel mudah tertanggal jika tidak rajin dicuci.
  • Gegelung besi untuk peranti Android dijual secara berasingan.
  • Pilihan warna terhad pada perak dan hitam sahaja.
  • Permukaan jenis cepat kotor dan sukar dicusi.
Komen