Carian
WhatsApp Menguji Ciri Profil Alternatif
November 1, 2023 Fahim Zahar

WhatsApp sedia menambah baik aplikasi mereka agar pengguna kekal setia pada platform pemesejan milik Meta ini. Minggu lepas, ciri menghantar mesej suara yang menghilang selepas sekali dengar diperkenalkan. Kemudian sokongan Passkey untuk log masuk tanpa kata laluan turut diedarkan kepada pengguna Android.

Baru-baru ini, WABetaInfo melaporkan yang WhatsApp kini sedang menguji ciri Alternate profile. Ciri ini dilihat diuji pada aplikasi WhatsApp untuk Android. Apabila pengguna menetapkan privasi profil seperti hanya kenalan yang boleh melihat gambar profil, profil alternatif ini akan dipaparkan kepada pengguna WhatsApp lain.

WhatsApp dilihat membenarkan pengguna menggunakan gambar profil dan nama pengguna yang lain. Ciri profil alternatif ini adalah satu ciri privasi yang baik kerana pengguna kini mempunyai lebih kawalan terhadap maklumat yang ingin dikongsi.

Jika kelak ciri ini diintegrasikan kepada kumpulan WhatsApp, ia boleh menjadi profil yang awanama di dalam kumpulan yang penuh dengan individu yang tidak dikenali. Sama-sama kita nantikan ciri ini diedarkan dan lihat sejauh mana ia akan memberi manfaat kepada pengguna.

Komen