Carian
Sennheiser Accentum Wireless Kini Ditawarkan Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM999
November 1, 2023 Nazrin

Pada penghujung bulan September baru-baru ini, Sennheiser telah memperlihatkan fon kepala audiofil nirwayar kelas permulaan mereka, yang dinamakan Sennheiser Accentum Wireless, dengan ketahanan bateri selama 50 jam.

Fon kepala ini menggunakan set pemandu audio sebesar 37mm dengan pada telinga lembut serta tubuh plastik. Ini dipadankan pula dengan dua mikrofon terbina yang juga dilengkapi pembatalan hingar aktif hibrid dan Wind-Reduction Mode terbina untuk pengalaman audio yang jelas.

Tambatan pantas boleh dibuat menerusi bluetooth 5.2 yang juga menyokong sambungan pintar dwi-peranti serentak. Sementara itu, codec yang disokong pula ialah AAC, SBC, aptX HD untuk kualiti audio lebih baik. Penggunaan bersama aplikasi Smart Control juga disarankan untuk kawalan lebih pelbagai termasuk kebolehan melaraskan tetapan EQ tersedia.

Bateri disertakan pula boleh berfungsi selama 50 jam sebelum perlu dicas. Kemudian pengecasan selama lima minit pula boleh menawarkan masa main balik selama lima jam tanpa masalah.

StreamCast Asia, syarikat pembekal kelengkapan audio tempatan baru-baru ini telah dinamakan sebagai pengedar rasmi Sonova Asia, pemilik jenama Sennheiser di rantau ini. Dengan ini juga, syarikat tersebut telah mengumumkan bahawa fon kepala Sennheiser Accentum Wireless ini sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM999 dan boleh dibeli di pelbagai kedai audio di seluruh Malaysia secara fizikal dan atas talian.

Komen