Carian
Ulasan CMF By Nothing – Tiada Apa-Apa Yang Istimewa
November 27, 2023 Fahim Zahar

Agak menarik untuk melihat Nothing yang baru berusia tiga tahun telah mempunyai sub-jenama tersendiri iaitu CMF by Nothing. Jenama ini memfokuskan kepada rekaan unik, lebih menjaga alam sekitar dan pada harga mampu milik berbanding Nothing dan pesaing lain. CMF by Nothing turut adalah satu lagi langkah Nothing yang cuba mengembangkan lagi ekosistem terbuka mereka.

@tokamanz

Kenali jenama CMF yang baru dari @Nothing ¯_(ツ)_/¯

♬ Trap, hip hop, dark beat ♪(963369) – Ninja_Muzik_Tokyo

Tiga produk mereka iaitu Buds Pro, Watch Pro dan Power 65W GaN telah pun tiba di makmal Amanz sebulan lalu dan saya telah menguji ketiga-tiga produk ini. Adakah ia berbaloi untuk dimiliki atau sebaliknya? Di dalam artikel ulasan ini akan saya kongsikan pengalaman penggunaan saya.


BUDS PRO

JenisSet fon telinga jenis dalam telinga
Pemacu AudioPemandu Audio Dinamik Boost Bass
LCP (Polimer Kristal Cecair)
PU (Poliuretana)
Mikrofon6x mikrofon
Pembatalan HingarPembatalan Hingar Aktif Hibrid
Mod Tembus Bunyi
BateriSehingga 39 jam
55mAh Fon Telinga
460mAh Pod Pengecas
TambatanBluetooth 5.3
Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair
CodecAAC, SBC
PengecasanUSB-C
Sokongan aplikasiNothing X
iOS, Android
KawalanPad sesentuh
Kemampuan kalis airIP54 (Fon Telinga)
Harga JualanRM 239
(Kelabu Gelap, Kelabu Muda, Jingga)

CMF by Nothing Buds Pro adalah produk audio yang asas dan ringkas yang tiada keunikan berbanding siri Nothing Ear. Pod pengecas adalah berbentuk bulat seakan bekas bedak solekan. Ia sangat ringan dan terasa lompong dengan logo di atas, lampu LED di hadapan sementara engsel dan port USB-C di belakang. Di bahagian dalam hanya ada satu butang tambatan dan tempat mengecas setiap fon telinga.

Setiap fon telinga menggunakan rekaan seakan AirPods Pro tetapi dengan tangkai yang lebih panjang dan rata. Ia mengingatkan saya kepada Mobvoi TicPods. Warna Buds Pro saya adalah putih jadi ia mudah menangkap kotoran daki walaupun menggunakan kemasan yang kusam. Setiap fon telinga ini sangat ringan dan mempunyai cengkaman yang baik di dalam telinga. Permukaan rata pada tangkai adalah untuk kawalan sentuhan yang cukup sensitif dan lancar untuk setiap fungsi dan ciri.

Kualiti audio Buds Pro adalah biasa sahaja. Ia tidak mempunyai sebarang keistimewaan seperti sokongan LHDC untuk memainkan audio nirhilang dan aplikasi Nothing X tidak membenarkan pengguna menggunakan equaliser. TWS yang ditala sendiri oleh Nothing ini kurang memuaskan speerti Nothing Ear (1) serta tidak cukup enak berbanding TWS mampu milik lain seperti realme Buds.

Kualiti audio yang diberikan terlampau fokus kepada bass sehingga vokal tenggelam. Jika bassnya baik mungkin masih boleh diterima, tetapi ia seakan tiada definisi dan tidak mempunyai impak dentuman yang memuaskan.

Vokal juga kurang jelas dengan penyanyi wanita dan lelaki kedengaran seakan diproses secara digital dan bukan suara asli. Nada tinggi juga tidak memberikan pengalaman pendengaran yang enak kerana ia tidak mencapai tahap yang menyerlah. Buds Pro mengingatkan saya kepada realme Buds Air 2 dua tahun lalu, cuma ia sedikit lebih baik. Jika anda ingin rasakan produk audio yang ditala oleh Nothing sendiri, ini mungkin alternatif baik kepada Nothing Ear.

WATCH PRO

Skrin1.96″ AMOLED, 410 x 502 piksel, 600+ nits
Sistem OperasiTidak didedahkan
PerlindunganIP68
SensorPemecut
Pengimbas Nadi
Saturasi Oksigen Darah
Lain-LainGPS/GLONASS/Galileo/QZSS/Beidou
Bluetooth 5.3
110 Mod Sukan
Speaker + Mikrofon
Bateri340mAh, sehingga 13 hari
Bahan BinaanKerangka Aloi Aluminium
Tali Jam Silikon
HargaRM 339
Kelabu Gelap
Kilauan Logam Kelabu/Jingga
Kelabu Gelap/Kelabu Abu

Watch Pro adalah penjejak kesihatan yang menyamar sebagai jam tangan pintar. Jam ini adalah seakan Xiaomi Smart Band atau Amazfit Bip sahaja dengan rekaan perisian oleh Nothing. Disebabkan ia menawarkan fungsi dan ciri yang asas, jam ini tiada sokongan gedung aplikasi, mengambil masa yang lama untuk mengemaskini perisian atau menukar muka jam dan kebanyakan fungsi dan ciri mewajibkan pengguna membuka aplikasi CMF Watch untuk menggunakannya.

Nothing tidak mendedahkan perisian yang digunakan tetapi saya yakin ia adalah satu lagi iterasi RTOS. Jam ini menggunakan bahan binaan aloi aluminium untuk kerangka dan silikon pada tali jam. Bahan silikon yang digunakan tidak begitu mesra kulit untuk tangan saya kerana selepas membandingkan dengan penjejak kesihatan lain dengan harga yang sama, pergelangan yang saya tidak mengalami masalah gatal-gatal dan kulit sakit seperti memakai Watch Pro.

Untuk sepasang jam RTOS, Watch Pro membawakan prestasi yang cukup lancar. Cuma muka jam kelihatan aneh kerana bezel tebal yang tidak sekata. Penggunaan mod sukan, pengimbas nadi, penjejakan tapak, pemantauan tidur dan pembacaan data oksigen darah memberikan data yang baik lebih kurang dengan jam Wear OS dan watchOS.

Masalah utama saya dengan Watch Pro ini adalah notifikasi yang ada lengah masa selepas ia tiba pada telefon. Baik Nothing Phone (2) atau iPhone 13 Pro, kedua-dua peranti ada masalah yang sama. Ini menyebabkan saya terlepas banyak menerima panggilan telefon dan juga mesej WhatsApp yang penting.

Kemudian untuk penggunaan saya, selama sebulan penggunaan saya tidak pernah menerima ketahanan bateri 13 hari yang didakwa oleh Nothing kerana setakat ini ia hanya bertahan sekitar 7 hari sahaja. Saya boleh maafkan perkara ini kerana pengecasan yang cukup pantas dengan kabel magnetik yang disediakan.

Perkara paling saya suka pada Watch Pro ini adalah aplikasi CMF Watch yang sangat mesra pengguna. CMF Watch menggunakan antaramuka yang sangat ringkas, cantik dan mudah untuk saya membaca semua data dan melakukan tetapan. Ini adalah antara aplikasi jam kegemaran saya setakat ini.

Saya mengharapkan suatu hari nanti, Nothing boleh mengintegrasikan aplikasi ini terus ke dalam Nothing X – barulah konsep ekosistem terbuka itu menjadi realiti. Kerana menggunakan dua aplikasi untuk dua produk oleh jenama yang sama pada saya agak melecehkan.

CMF by Nothing Watch Pro juga adalah jam tangan pintar asas yang agak mahal. RM399 untuk jam seperti ini tidak begitu mampu milik berbanding realme Watch, DIZO atau Amazfit yang sudah bertahun pengalaman dalam arena peranti boleh pakai. Kerana jam-jam oleh jenama ini yang mempunyai lebih banyak fungsi menarik dan sensor yang lebih bagus boleh didapati pada harga lebih murah.

POWER 65W GAN

Jenis PengecasGaN – Galium Nitrida
Port Sambungan2x USB-C
1x USB-A
Piawaian PengecasanPD3.0, QC4.0+/3.0/2.0
SCP, FCP, PPS, AFC
Apple 2.4A, Samsung 9V2A
DCP
Kuasa Input100-240V
1.7A
Kuasa OutputUSB C1/C2 – 15W, 27W, 36W, 45W, 65W
USB A – 15W, 27W, 36W
PPS: 25W-55W, 16.25W-65W
Harga JualanRM 189

Power 65W GaN adalah produk CMF by Nothing yang paling mampu milik kerana berharga RM189. Ini adalah produk mereka yang pada saya paling berbaloi untuk dimiliki. Ini kerana tidak banyak pemgecas pantas 65W dengan teknologi galium nitrida dijual pada harga RM189 dengan rekaan yang kompak dan nipis seperti ini.

Nothing memilih untuk menggunakan warna kelabu gelap dengan kemasan kusam. Agak mengecewakan mereka tidak menawarkan pilihan warna yang banyak seperti Buds Pro dan Watch Pro mereka. Ini kerana walaupun pengecas ini menggunakan warna yang gelap, ia amat mudah kotor dan calar. Walaupun begitu, pengecas ini adalah sangat baik kerana pertama ia memang dipasarkan untuk Malaysia dengan menggunakan palam UK. Kemudian susunan setiap port teratur dan mesra dengan pelbagai kabel.

CMF by Nothing turut memberikan sokongan banyak piawaian pengecasan kerana kebanyakan pengecas GaN bersifat universal dan mesra dengan banyak peranti. Pertama sekali kedua-dua port USB-C menyokong Power Delivery Programmable Power Supply yang boleh bertukar kuasa dari 25W ke 55W dan 16.25W ke 65W dan kedua adalah port USB-A yang menyokong pengecasan dari 15W sehingga 36W.

Sepanjang sebulan penggunaan saya, pengecas ini tiada masalah dalam mengecas komputer riba Huawei Matebook 14s, Nothing Phone (2) dan CMF by Nothing Watch Pro serentak dengan pantas. Pengecas ini turut mampu memastikan peranti tidak memanas ketika pengecasan kerana ia sendiri menyerap haba kepada tubuhnya. Dengan harga RM189, ini adalah antara pengecas pantas GaN set rasmi Malaysia yang bagus dan patut dimiliki oleh semua.

KESIMPULAN

Selepas menggunakan ketiga-tiga produk ini, saya boleh katakan CMF by Nothing berjaya memberikan saya pengalaman penggunaan yang baik. Buds Pro adalah TWS asas yang boleh diterima untuk mereka yang ada bajet kurang RM300, sementara Watch Pro adalah jam asas yang mahal tetapi ada muka jam dengan aplikasi yang cantik serta mesra pengguna. Akhir sekali Power 65W GaN adalah pengecas pantas terbaik pernah saya gunakan untuk yang rasmi dijual di Malaysia pada harga yang cukup kompetitif.

PRO Dan KELEBIHAN

  • Pengenalan kepada ekosistem Nothing yang baik.
  • Sesuai untuk pengguna kali pertama menggunakan TWS, jam pintar dan pengecas GaN.
  • Rekaan aplikasi yang cantik dan mesra pengguna pada Nothing X dan CMF Watch.
  • Pilihan warna yang menarik untuk Watch Pro dan Buds Pro.
  • Bungkusan produk yang unik dan berbeza.

KONTRA Dan KELEBIHAN

  • Tiada pilihan warna untuk Power 65W GaN dan ia mudah calar.
  • Buds Pro tidak mempunyai ciri dan fungsi menarik seperti LHDC berbanding pesaing pada harga sama.
  • Watch Pro ada masalah notifikasi tidak konsisten dan tidak mesra semua kulit pengguna.
  • Memerlukan dua aplikasi untuk produk dalam ekosistem yang sama.
  • Buds Pro dan Watch Pro agak mahal berbanding pesaing.
Komen