Penyakit Parkinson menyebabkan kawalan anggota tubuh terganggu sehingga pesakit tidak lagi mampu berdikari. Pelbagai kajian sedang dilakukan bagi membolehkan di dikesan lebih pantas dan juga rawatan boleh diberikan. Minggu ini Lausanne University Hospital (CHUV) mengumumkan mereka berjaya mengembalikan kemampuan berjalan pada seorang pesakit Parkison menggunakan implan pada saraf tunjang.
Pesakit yang hanya dikenalpasti sebagai Marc dari Perancis menerima implan pada saraf tunjang beliau dua tahun yang lalu. Selepas menjalani proses rehabilitasi selama beberapa hari, Marc dapat kembali berjalan seperti normal. Sebelum itu beliau akan sentiasa terjatuh apabila cuba berjalan. Sekarang beliau boleh berjalan sehingga 6 kilometer sehari tanpa sebarang isu.
Implan dalam bentuk elektrod diletakkan pada saraf tunjang dengan generator impuls elektrik pula diletakkan di bawah kulit pada bahagian abdomen. Sensor dipakai pada kaki bagi mengesan pergerakan berjalan yang kemudiannya menghantar impuls elektrik kepada neuron di saraf tunjang. Melalui prosedur ini Marc kini boleh kembali berjalan.
Sungguhpun ujian implan ini menunjukkan kejayaan, penyelidik dari CHUV berkata ia masih belum bersedia digunakan oleh semua pesakit Parkinson. Ini adalah kerana implan ini dihasilkan khusus untuk Marc selepas melakukan pemetaan penuh saraf tunjang beliau. Lebih banyak ujian klinikal perlu dilakukan bagi membolehkan lebih ramai pesakit menerima rawatan yang sama.
Ini ialah kejayaan kedua dalam mengembalikan mobiliti untuk CHUV. Tahun lalu penyelidik dari CHUV dan École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) berjaya memulihkan kemampuan berjalan pada individu yang lumpuh juga menerusi penggunaan implan saraf tunjang seta impuls elektrik.