MediaTek Dimensity 9300 telah diumumkan secara rasmi dengan binaan cip 4nm, dalam masa sama turut memuatkan empat terang Cortex-X4 pada kelajuan 3.25GHz dan empat teras Cortex-A720 berkelajuan 2.0Ghz. Ia juga dikatakan menawarkan kuasa prestasi lebih berkuasa berbanding Snapdragon 8 Gen 3 yang dilancarkan Qualcomm baru-baru ini.
Seperti yang diperlihatkan menerusi video pendek di bawah, Dimensity 9300 mencatatkan 2,207,222 mata dalam ujian penanda aras AnTuTu. Nilai tersebut adalah lebih tinggi berbanding Snapdragon 8 Gen 3 yang mencatatkan sebanyak 2,200,000 markah menerusi ujian penanda aras yang sama.
Turut dikongsi ialah skor Geekbench 6 Dimensity 9300 yang mencatatkan 2,265 markah dalam ujian satu terasa, sementara itu dalam ujian multi teras pula ia mencatatkan 7995 markah. Dalam ujian ini kelebihan masih dilihat pada cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan 2329/7526, namun ujian multi teras Dimensity 9300 mencatatkan markah lebih tinggi.
Ujian 3DMark Wild Life Extreme turut menunjukkan Dimensity 9300 lebih baik dengan 33.77 FPS berbanding 32FPS pada Snapdragon 8 Gen 3. Seperti yang dikatakan sebelum ini Dimensity 9300 memberi tumpuan kepada prestasi lebih pantas, di samping juga menawarkan sokongan ray-tracing ketika bermain.