Samsung secara rasmi mengumumkan model AI generatif mereka Samsung Gauss di acara Samsung AI Forum yang sedang berlangsung. Ia terdiri daripada Samsung Gauss Language, Samsung Gauss Image dan Samsung Gauss Code. Menurut Samsung, model Samsung Gauss ini dibangunkan sendiri oleh mereka dan kini digunakan oleh kakitangan syarikat untuk meningkatkan produktiviti dengan perancangan menawarkannya pada produk-produk keluaran mereka kelak.
Samsung Gauss Language mempunyai kemampuan menulis email, melakukan ringkasan dokumen, alih bahasa dan turut boleh digunakan untuk kawalan peranti internet benda pada produk. Samsung Gauss Image pula boleh menjana imej, melakukan suntingan gambar dan meningkatkan resolusi imej. Akhir sekali Samsung Gauss Code boleh membantu penulis perisian serta aplikasi melakukan semakan.
Walaupun tidak diumumkan pada mana-mana produk setakat ini, Samsung mengesahkan Samsung Gauss boleh ditawarkan secara tersedia pada peranti keluaran mereka di masa hadapan. Ini menguatkan lagi ura-ura bahawa Samsung Galaxy S24 kelak akan menjadi “telefon pintar AI” pertama daripada syarikat pengeluar telefon pintar terbesar dunia ini.