Ciri Magic Editor pada Google Photos pada waktu ini adalah eksklusif pada peranti Pixel. Menerusinya suntingan gambar dilakukan dengan bantuan kecerdasan buatan yang menghasilkan imej yang lebih realistik pasca proses. Tetapi timbul isu imej yang dijana Magic Editor boleh disalahgunakan oleh sesetengah individu. Menurut laporan Android Authority, kod dalam Google Photos menunjukkan Magic Editor akan menghalang suntingan imej tertentu.

Kod jelas menghalang Magic Editor digunakan untuk menjana kad pengenalan palsu atau sebarang pengubahan maklumat peribadi pada gambar kad pengenalan asal. Ia turut menghalang sekiranya wajah dan anggota tubuh pada gambar diubah.
Arahan untuk mengubah kawasan yang luas pada gambar juga tidak lagi dibenarkan. Jika pengguna masih lagi mencuba, notifikasi akan diberikan mengatakan ia tidak boleh dilakukan. Kesemua halangan ini adalah selari dengan garis panduan AI generatif Google yang turut digunakan pada Google Duet.