Carian
Baidu Dilaporkan Menggunakan Cip AI Keluaran Huawei Menggantikan Cip NVIDIA
November 8, 2023 Effi Saharudin

Perang teknologi antara China dan Amerika Syarikat semakin serius dengan sekatan ke atas cip kecerdasan buatan (AI) telah diperketatkan lagi beberapa minggu lalu. Menyedari akses mereka kepada cip keluaran NVIDIA dan AMD mungkin akan dihalang dalam masa terdekat, Baidu kini dilaporkan mula membeli cip AI keluaran Huawei menurut laporan Reuters.

Huawei dilaporkan telah membeli 1600 cip AI 910B Ascend keluaran Huawei untuk digunakan pada 200 pelayar. 910B Ascend dilihat sebagai alternatif kepada cip NVIDIA A100. Huawei dipercayai telahpun membekalkan 100 cip 910B Ascend kepada Baidu setakat ini. Walaupun jumlah cip yang dipesan masih agak kecil berbanding ribuan cip NVIDIA yang digunakan oleh Baidu sekarang, ia dilihat sebagai persediaan sekiranya Amerika terus menghalang akses kepada cip NVIDIA di masa hadapan.

Halangan cip AI kepada syarikat di China tidak lagi terhad kepada cip A100 dan A800 malahan turut melibat GPU permainan video NVIDIA RTX 4090. Berbanding dengan cip keluaran NVIDIA, cip Huawei tidak mempunyai kuasa pemprosesan yang setanding. Namun begitu pembangunan AI untuk keperluan tempatan perlu diteruskan bagi memastikan China dapat terus bersaing dengan kuasa besar dunia yang lain.

Komen