Carian
Chrome Kini Boleh Paparkan Jumlah RAM Digunakan Setiap Tab
November 8, 2023 Effi Saharudin

Pernah suatu ketika Chrome ialah pelayar web pilihan kami kerana ia adalah yang terpantas dengan pelbagai ciri tambahan yang menarik. Tetapi kemudian kami menyedari ia juga merupakan pelayar Dracula yang menyedut RAM pada sistem komputer dengan rakusnya. Terdapat sistem penjimatan RAM dan tenaga tetapi ia masih mendatangkan isu memori membuatkan kami tawar hati. Pada Chrome 119, satu ciri baharu diperkenalkan yang memaparkan jumlah RAM yang digunakan setiap tab.

Pengguna hanya perlu mengalihkan kursor tetikus pada tab dan jumlah memori yang digunakannya akan dipaparkan. Dengan ciri ini pilihan untuk mematikan tab yang paling banyak menggunakan RAM dapat dilakukan dengan lebih baik. Isu Chrome mengambil RAM yang melampau sehingga memperlahankan aplikasi lain juga dapat dielakkan.

Bagi mereka yang telahpun mengemaskini Chrome ke versi 119, ciri ini akan diberikan secara berperingkat kepada pengguna global dalam minggu-minggu mendatang.

Komen