Apakah nama kapal terbang terbesar di dunia sekarang? Jawapannya ialah Stratolaunch yang dilengkapi sayap sepanjang 117 meter dan dua tubuh sepanjang 73 meter. Ia dibangunkan sebagai platform pelancaran roket. Tetapi Stratolaunch adalah kecil jika diletakkan bersebelahan Pathfinder-1 yang sepanjang 124 meter dengan diameter 20 meter yang kini merupakan pesawat udara terbesar dunia.
Pathfinder-1 dibangunkan oleh LTA Research yang menerima dana daripada pengasas Google Sergey Brin. Ia adalah pesawat udara yang direka untuk membawa kargo dan memberikan bantuan ketika bencana. Kerana ia tidak memerlukan landasan panjang untuk mendarat atau terbang, Pathfinder-1 boleh pergi ke mana-mana lokasi ia diperlukan asalkan terdapat ruang yang mencukupi.
Walaupun kelihatan seperti pesawat udara Hindenburg dari dekad 1930an, Pathfinder-1 menggunakan teknologi semasa. Kerangkanya diperbuat daripada bahan titanium dan tiub gentian karbon yang bukan sahaja tahan lasak tetapi lebih ringan berbanding aluminium pada Hindenburg. Terdapat 13 beg udara gas helium yang diperbuat daripada nilon tahan koyak. Sistem LiDAR digunakan untuk mengesan kebocoran secara masa nyata.
Sebanyak 12 motor elektrik digunakan bukan sahaja sebagai sistem tujahan tetapi membantu ia mendarat serta terbang. Sistem kawalan terbang-dengan-wayar (FBW) yang canggih turut diguna pakai untuk ia diterbangkan dengan lebih jitu.
Pathfinder-1 telah menerima kebenaran FAA untuk memulakan ujian penerbangan. Ia adalah langkah utama sebelum Pathfinder-3 sepanjang 180 meter dihasilkan bagi tujuan operasi komersial. Walaupun Pathfinder-1 ialah pesawat udara terbesar dunia sekarang, rekod dunia masih lagi dipegang oleh Hindenburg sepanjang 245 meter yang terbakar pada tahun 1937.