Pembangunan Pesawat Terbesar Dunia Stratolaunch Dilaporkan Akan Dihentikan

Pembangunan Pesawat Terbesar Dunia Stratolaunch Dilaporkan Akan Dihentikan

Diterbitkan pada June 3, 2019 oleh .

Pesawat dengan sayap paling lebar di dunia ialah Stratolaunch berjaya melakukan penerbangan pertama pada bulan April lalu. Dengan enam enjin dan dua tubuh yang bersambung, Stratolaunch dibangunkan untuk melancarkan satelit menerusi roket yang dibawa oleh pesawat. Menurut laporan Reuters, pembangunan Stratolaunch kini akan dihentikan.

Ini adalah kerana syarikat Stratolaunch Systems Corporation akan dijual. Masa depan syarikat ini menjadi tanda tanya selepas kematian pengasasnya Paul Allen yang juga merupakan pengasas Microsoft pada Oktober tahun lalu. Dengan kejayaan penerbangan pertama, ia menjadi bukti teknologi melancarkan roket menggunakan kapal terbang gergasi ini boleh digunakan.

Penjualan aset dan teknologi milik Stratolaunch Systems Corporation akan dilakukan oleh Vulcan Inc, syarikat yang memegang amanah kepada harta peninggalan mendiang Paul Allen. Ketika ditubuhkan pada tahun 2011, Stratolaunch ingin menjadi syarikat yang menawarkan sistem pelancaran satelit ke angkasa lepas secara mampu milik. Selain mereka Space X dan Blue Origin turut menawarkan perkhidmatan yang sama.


TIPS & ULASAN