Awal tahun ini teknologi Snapdragon Satellite telah diumumkan oleh Qualcomm yang menyokong sistem komunikasi satelit kecemasan. Teknologi ini diberikan pada cip Snapdragon 8 Gen 1 yang menggunakan modem Snapdragon X75.
Hari ini Iridium yang merupakan rakan teknologi Snapdragon Satellite mengumumkan mereka menamatkan kerjasama dengan Qualcomm berkuat kuasa 3 Disember 2023. Dalam kenyataan rasmi yang diberikan, Iridium berkata walaupun teknologi ini dibuktikan berfungsi, masih tiada pengeluar telefon pintar Android yang menyokong sistem yang wujud pada peranti iPhone dan Huawei.
Iridium kini bebas untuk melakukan kerjasama dengan sebarang pengeluar telefon pintar untuk menawarkan sistem komunikasi satelit. Ura-ura sebelum ini mengatakan komunikasi satelit akan disokong pada siri Galaxy Z Fold dan Z Flip. Aneh juga ketika acara Snapdragon Summit tiga minggu lalu, teknologi komunikasi satelit ketika kecemasan turut tidak disentuh kepada pelancaran Snapdragon 8 Gen 3.