Carian
Pemindahan Mata Sepenuhnya Pertama Dunia Berjaya Dilakukan
November 12, 2023 Effi Saharudin

Prosedur pemindahan mata sepenuhnya telah berjaya dilakukan olek pakar dari NYU Langone Health pada Mei lalu. Kejayaan ini hanya didedahkan beberapa hari yang lalu dengan Aaron James (46) ialah manusia pertama yang menerimanya. James mengalami kecederaan teruk pada wajah selepas kemalangan melibatkan voltan tinggi di tempah kerja.

Gambar – NYU Langone Health

Beliau menerima pemindahan wajah bersama dengan sebiji mata kiri yang didermakan oleh seorang lelaki berusia 30 tahun. Prosedur pemindahan wajah dan mata ini mengambil masa 21 jam melibatkan 140 doktor, jururawat dan pakar kesihatan. Selain menjadi manusia pertama menerima pemindahan mata di dunia, beliau juga adalah manusia ke-19 menerima pemindahan wajah di Amerika Syarikat. Walaupun mata yang diterima kini tidak menunjukkan isu penolakan, James masih belum boleh melihat menggunakannya.

Gambar – NYU Langone Health

Sungguhpun begitu pakar dari NYU Langone Health berkata ia adalah langkah pertama yang positif ke arah membolehkan pemindahan mata dilakukan di masa hadapan. Tahun lalu NYU Langone Health turut berjaya memindahkan dua jantung dan ginjal babi ke tubuh manusia yang sudahkan kematian otak.

Komen