Beberapa bulan yang lalu ramai pembeli akaun X Premium (dahulunya Twitter Blue) berkongsi “resit” mereka menjana puluhan ribu Dollar hasil perkongsian pendapatan pengiklanan di X (dahulunya Twitter). Ini sekaligus membuatkan ramai yang melanggan Twitter Blue, dalam usaha untuk menjana pendapatan daripada platform tersebut.
Tetapi benarkan X ialah lubuk emas yang menjadi kekayaan dengan mudah? Saya telah melanggan X Premium selama lapan bulan untuk menjawab persoalan ini untuk pengguna di Malaysia dan jawapan yang boleh saya berikan ialah anda lebih baik bekerja di kedai serbaneka atau restoran makanan segera daripada menjadi pempengaruh media sosial di X.
Berapa Banyak Duit Boleh Dijana?
Antara 1 Februari hingga 30 September 2023 saya menjana pendapatan sekitar $82 (~RM385) sahaja bersamaan dengan RM48.13 sebulan. Saya membayar RM369 untuk langganan setahun dan ini bermakna saya baru sahaja pulang modal sebanyak RM14 pada penghujung September 2023.
Sekiranya pendapatan yang saya terima konsisten sehingga penghujung Februari 2024, saya menjana pendapatan bersih sekitar RM250 setahun. Ini ialah pendapatan yang langsung tidak berbaloi untuk akaun yang secara purata menerima 10 juta impresi sebulan dengan sekitar 92 ribu pengikut.
Anda mungkin mengatakan ini adalah kerana akaun saya tidak mempunyai jumlah pengikut yang tinggi. Tetapi anda harus ingat sekitar sebulan selepas skim perkongsian keuntungan pengiklanan ini diumumkan, Elon Musk berkata hanya interaksi daripada pelanggan X Premium dengan iklan akan dikira bagi mengelakkan manipulasi menggunakan bot. Sehingga Ogos lalu hanya terdapat bawah 900 ribu pelanggan X Premium berbanding sekitar 530 juta pengguna aktif bulanan. Hanya interaksi daripada 0.17% pelanggan X boleh menjana pendapatan.
Di Malaysia tidak terdapat ramai pelanggan X Premium membuatkan kebarangkalian anda menjana pendapatan lumayan ialah lebih rendah berbanding kebarangkalian anda hidup selepas menerima organ khinzir sebagai ganti organ tubuh yang sihat. Saya ada menghubungi beberapa rakan pempengaruh di X yang juga melanggan X Premium. Mereka ini adalah golongan yang saya kategorikan sebagai “petani kemarahan” (rage farmers) yang menghantar ciapan yang pasti mendapat ribuan RT dan QRT.
Pendapatan yang mereka terima adalah setanding dengan saya terima dalam tempoh yang sama. Sekali lagi tegaskan bahawa menjana pendapatan di X yang setanding dengan gaji bulanan minima di Malaysia adalah mustahil.
Mari gunakan akaun @evleaks sebagai sampel. Beliau ialah peniris maklumat yang sangat terkenal dengan 452 ribu pengikut. Pendapatan X Premium beliau bulan lalu lebih kurang sama sahaja dengan pendapatan saya pada bulan Ogos 2023 iaitu $16.24. @evleaks yang terkenalpun tidak boleh menjana pendapatan yang tingi walaupun ciapan beliau kerap kali tular dengan puluhan juta impresi.
Bagaimana Pula Dengan Pempengaruh Yang Mendakwa Menjana Ribuan Dollar?
Memang ada beberapa pempengaruh di X yang menjana ribuan Dollar dengan mereka berkongsi tangkapan layar. Antaranya ialah eksport Malaysia yang paling terkemuka di X iaitu Ian Miles Chong yang menetap di Ipoh. Tetapi perkongsian pendapatan yang mewah ini hanya dikongsi sekali sahaja. Selepas Elon Mengubah garis panduan impresi pengiklanan, majoriti mereka yang menjana pendapatan lumayan mula merungut wang dimasukkan lambat dalam jumlah yang jauh lebih kecil.
Elon Musk menggunakan mereka ini sebagai iklan untuk menarik lebih banyak pelanggan X Premium. Taktik yang sama seperti perniagaan MLM yang menunjukkan ahli-ahli awal kini mampu membeli kereta mewah sebagai umpan. Umum kita ketahui semua ini sekadar asap yang dihembus untuk mengaburi mata mereka yang mahukan kekayaan.
X bukanlah lubuk emas seperti yang dijanjikan oleh Elon Musk. Ia menerima nasib yang sama seperti Musk mengatakan sistem swapandu Tahap 5 akan muncul pada tahun 2019, Cybertruck akan diterima 2021 dan manusia akan tiba di Marikh 2024. Beliau gemar berjanji tetapi jarang sekali ia ditepati. Bossku lebih senonoh dalam hal ini. Jadi sekiranya anda memendam hasrat menjana pendapatan yang tinggi menerusi X Premium, saya sarankan ia dikuburkan sahaja kerana ia sebuah lagi cerita tahyul daripada Elon Musk.