Samsung ialah pengeluar telefon pintar terbesar di dunia dan ini sekaligus menjadikan mereka juga pengeluar telefon Android terbesar di dunia. Status yang penting ini memberikan mereka kelebihan untuk berurusan dengan Google. Dalam kes Epic Games menentang Google yang sedang berlangsung, James Kolotouros, timbalan presiden bahagian perkongsian di Google mendedahkan Samsung menerima bayaran $8 bilion daripada Google untuk menggunakan aplikasi Google secara lalai (default) pada peranti mereka.
Bayaran $8 bilion ini diterima pada tahun 2020 untuk tempoh empat tahun yang membolehkan Google Search digunakan sebagai enjin carian lalai, Play Store sebagai stor aplikasi lalai dan Assistant sebagai pembantu maya lalai. Ia menggantikan Galaxy Store dan juga Bixby yang digunakan sebelum ini.
Walaupun $8 bilion nampak seperti nilai yang besar, ia jauh lebih kecil berbanding $18-$20 bilion setahun yang dibayar Google kepada Apple untuk mengekalkan Search sebagai enjin carian lalai di Safari. Sebelum ini turut didedahkan Google membayar Samsung untuk mempercepatkan proses kemas kini Android pada lebih banyak peranti yang dikeluarkan.